Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kumpulan profesional yang kalah dalam pemilihan PAS bulan lepas mengumumkan penubuhan sebuah kumpulan dinamakan "Gerakan Harapan Baru" untuk mengasaskan penubuhan satu parti politik baru berteraskan Islam.

Penubuhan Gerakan Harapan Baru ini turut bertujuan untuk memperjuang usaha penubuhan gabungan pembangkang “Pakatan Rakyat 2.0”.

"Gerakan Harapan Baru atau singkatannya Harapan Baru bertujuan menggerakkan semula kerjasama parti-parti politik, NGO dan rakyat.

"Harapan Baru akan mendukung Islam yang syumul dengan pendekatan yang inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat.

"Kami komited untuk membawa tawaran Islam yang sebenar-benarnya Rahmat untuk Semua" dalam memberi pembelaan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kami mendokong nilai-nilai demokratik dalam sebuah negara demokrasi yang subur dan berfungsi serta menghormati kedudukan semua kaum, agama dan budaya," kata Mat Sabu, pengerusi Gerakan Harapan Baru dalam satu sidang media hari ini.

Antara mereka yang menghadiri sidang media hari ini termasuklah bekas naib presiden PAS Ahmad Awang,  bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan bekas ketua pemuda PASSuhaizan Kait.

Selain itu, dua anak bekas presiden turut terlibat dalam gerakan itu, iaitu Faiz Fadzil,anak Datuk Fadzil Noor dan Mujahid Yusof, anak Datuk Dr Yusof Rawa.

Turut hadir timbalan ketua muslimat PAS Siti Mariah Mahmud, bekas naib presiden, Salahuddin Ayub dan bekas anggota jawatankuasa pusat Dzulkefly Ahmad dan Khalid Samad.

Mereka semua akan turut bertindak sebagai penaja parti baru itu.

Ditanya sama ada Harapan Baru akan didaftar bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), pemimpin PAS yang mesra dipanggil Mat Sabu tidak menjawab soalan itu,  sebaliknya hanya berkata semua masih dalam proses.

Bekas yang telah bergelumang dalam PAS lebih 30 tahun berkata, semua ahli jawatankuasa penaja kumpulan itu masih ahli PAS.

Manakala ahli jawatankuasa penaja Asmuni Awi turut berkata kepada Malaysiakini bahawa Harapan Baru bukan sebuah NGO sebaliknya hanya sebagai wadah kepada kumpulan profesional PAS memperjuangkan penubuhan parti baru.

Sementara itu, Mat Sabu berkata Harapan Baru mendapat sokongan pelbagai NGO termasuk Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Pertubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Ditanya pandangannya Harapan Baru berhubung isu hudud, Mat Sabu berkata:

"Undang-undang Islam itu adalah sebahagian daripada syariat Islam dan kumpulan ini akan meletakkan perjuangannya melalui demokrasi berparlimen dan konsultasi."

Mengenai keahlian parti baru yang bakal ditubuhkan itu, Mat Sabu sekali lagi tidak ingin menjawab dengan hanya berkata semua masih dalam perbincangan.

Namun, ahli jawatankuasa penaja Dzulkefly Ahmad berkata keahlian parti mempunyai dua kategori iaitu ahli penuh dan ahli bersekutu yang terbuka kepada semua kaum, termasuk Islam dan bukan Islam.

"Keahlian bersekutu juga terbuka kepada Islam dan juga bukan Islam. Mereka ini tidak daftar sebagai ahli penuh kerana beberapa hal tertentu seperti mereka mahu mendukung perjuangan parti tetapi tidak mahu memberi komitmen untuk mengundi atau memegang jawatan," katanya.

Lihat Komen
ADS