Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mayat ditemui dalam beg baju di Kota Damansara

Mayat seorang lelaki ditemui di dalam sebuah beg pakaian di Jalan Cecawi, Seksyen 6 Kota Damansara dekat Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain dua hari lepas berdasarkan keadaan mayat yang dijumpai pada 1.15 tengah hari tadi.

"Kepala mangsa dibalut dengan beg plastik manakala tangan dan kakinya pula diikat dengan kabel berwarna kuning. Ketika ditemui mangsa berpakaian baju warna hijau dan berseluar jeans gelap," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat itu dimuatkan dalam sebuah beg baju bersaiz 0.8 meter x 0.5 meter (2.6 kaki x 1.9 kaki) berwarna hitam yang dibalut dengan plastik.

Azmi juga berkata tiada kesan kecederaan ditemui pada mayat itu dan ia sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Azmi berkata berdasarkan keterangan saksi, suspek yang membawa beg itu merupakan seorang lelaki berusia awal 30-an, bertubuh tinggi serta berkulit sawo matang, berambut pendek dan memakai T-Shirt berkolar berwarna kelabu.

"Suspek dilihat menarik beg yang agak berat itu sebelum menghilangkan diri sebelum beg itu ditemui dalam longkang," katanya.

Bagaimanapun, katanya tiada kamera litar tertutup di tempat kejadian, serta tiada senjata ditemui.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS