Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua penjawat awam yang berkhidmat di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menipu seorang wanita berhubung wang denda dalam satu kes mahkamah.

Kerani, Shahnaz Khan Kamarzaman, 34, dan Ahmad Mustakim Abdul Halim, 26, seorang juruwang, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor.

Shahnaz Khan dan Ahmad Mustakim didakwa menipu Che Su Abdullah, 57, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa mereka boleh menolongnya membayar wang denda RM4,000 bagi kes dadah melibatkan menantu mangsa sehingga Che Su menyerahkan wang itu kepada kedua-dua tertuduh.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Unit Hasil dan Deposit Bahagian Kewangan, Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini, antara 9 pagi dan 12.30 tengah hari, 13 Julai lepas.

Mereka yang diwakili peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun Mohammad Arifin memohon jaminan rendah atas alasan Shahnaz Khan perlu menanggung keluarga dengan pendapatan RM1,800, manakala Ahmad Mustakim pula menyara isteri dan anak berusia dua bulan.

Nur A'minahtul Mardiah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat mereka perlu melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 17 Ogos untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS