Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'CAGM' reka SD tentang pegawai AmBank
Diterbitkan:  Jul 15, 2015 8:40 PM
Dikemaskini: Jul 16, 2015 3:22 AM

Akuan berkanun (SD) yang disiarkan di beberapa portal berita termasuk Malaysiakini sebenarnya rekaan sebuah blog bernama Citizens for Accountable Governance Malaysia (CAGM).

SD itu mendakwa seorang pegawai bank dipecat kerana cuba melaporkan kepada Bank Negara berhubung jumlah besar transaksi melibatkan akaun dikatakan milik perdana menteri.

“CAGM hanya satu eksperimen sosial media di Malaysia. CAGM berkembang kerana kami disokong oleh pengarang yang enggan menyemak fakta tetapi gemar melaporkan berita sensasi,” katanya dalam blog.

Ia juga mendakwa pengerusi CAGM Md Zainal Abidin sebenarnya tidak wujud.

CAGM mengeluarkan kenyataan akhbar pertama pada 28 Mei, di bawah nama Md Zainal Abidin bersama satu nombor telefon.

Malaysiakini menghubungi nombor telefon itu pada hari yang sama. Individu itu memperkenalkan diri sebagai Md Zainal Abidin dan mengesahkan menghantar kenyataan itu.

Zainal juga diminta diwawancara tetapi dia tidak bersetuju.

Sejak itu, CAGM mengeluarkan beberapa siri kenyataan akhbar, beberapa daripadanya kritikal terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 12 Julai, ia menyiarkan kenyataan akhbar mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak menyalurkan jutaan ringgit ke dalam akaun parti komponen BN.

Malaysiakini tidak melaporkan perkara ini kerana kurang bukti.

Pada 14 Julai, Md Zainal menghantar pesanan kepada wartawan Malaysiakini kerana tidak melaporkan kenyataan mereka.

Sebagai balasan, dia diberikan jawapan: “Kami putuskan tidak siarkan kerana terdapat kurang bukti dan menjejaskan banyak pihak. Tetapi jika kamu boleh kongsi dokumen mahkamah untuk menyokong dakwaan itu, kami sukacita untuk siarkan bukti itu.”

Pada malam yang sama CAGM menghantar SD dengan beberapa bahagian digelapkan melalui emel dan menyiarkan dalam blognya.

Malaysiakini menghubungi Md Zainal pada hari berikutnya, meminta nombor telefon individu yang disebut dalam SD itu atau peguamnya.

Md Zainal berkata orang itu belum bersedia mendedahkan identitinya kepada awam.

Blog CAGM, yang menyiarkan versi SD itu petang ini berkata ia adalah palsu.

Bagaimanapun, pesuruhjaya sumpah yang dinyatakan dalam cop memang wujud dan nampaknya telah disalah guna.

Sebelum menyiarkan dakwaan SD CAGM itu, Malaysiakini membuat semakan ke atas pesuruhjaya sumpah yang copnya tertera pada SD itu, yang menunjukkan dia adalah orang yang sah.

Berdasarkan pangkalan data pesuruhjaya sumpah, Faridah Abdul Hamid (No. PJS: W420) menjadi pesuruhjaya sumpah daripada 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2014. SD itu bertarikh 8 Mei 2013.

Malaysiakini juga sudah menghantar emel kepada AmBank untuk maklum balas.

Blog CAGM menyiarkan apa yang kononnya perbualan antara seorang editor The Wall Street Journal (WSJ) Asia, Tom Wright dengan Zainal berkaitan SD itu.

Catatan perbualan dengan WSJ itu kelihatan seperti satu cubaan untuk memburukkan Wright dan WSJ di tengah-tengah dakwaan berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang disiarkan harian perniagaan itu.

 

Nota pengarang: Malaysiakini telah menarik balik laporan asal.

Lihat Komen
ADS