Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi: Saya bukan dalang Sarawak Report
Diterbitkan:  Jul 16, 2015 12:50 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menafikan menjadi dalang dengan memberi arahan kepada Sarawak Report untuk memfitnah Datuk Seri Najib Razak berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rafizi berkata, beliau tidak mengenali dan berhubung individu bernama Lester Melanyi yang mendakwa pernah bekerja untuk Sarawak Report bahawa ahli Parlimen Pandan itu menjadi dalang dan memberi arahan untuk memfitnah Najib.

“Saya tidak pernah kenal Lester Melanyi atau berhubung dengan beliau.

"Kali pertama saya tahu kewujudan beliau adalah apabila Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan mengenai laporan polis seperti di atas,” kata Rafizi dalam kenyataannya hari ini.

Semalam, pengarah komunikasi strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan membuat laporan polis terhadap Sarawak Report kerana didakwa memalsukan dokumen berkaitan dengan 1MDB dan bersekongkol dengan wakil rakyat pembangkang.

“Saya tidak pernah memberi arahan kepada Sarawak Report apatah lagi memberi bahan untuk disiarkan oleh Sarawak Report,” kata Rafizi dalam kenyataannya hari ini.

Satu video pendedahan yang dibuat oleh Laster mengenai dakwaan penipuan pemalsuan 1MDB telah dimuat naik di laman sosial.

Laster dalam klip itu berkata Rafizi dan MP Petaling Jaya Utara Tony Pua terlibat dalam memberi arahan kepada Sarawak Report.

Semalam, pengarah komunikasi strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan membuat laporan polis terhadap Sarawak Report kerana didakwa memalsukan dokumen berkaitan dengan 1MDB dan bersekongkol dengan wakil rakyat pembangkang.

Abdul Rahman berkata, polis turut diberi video pengakuan Laster dan juga e-mel yang didakwa dari editor laman pemberi maklumat itu yang berpangkalan di London, Claire Rewcastle Brown.

Sementara itu, Rafizi menegaskan beliau turut tidak pernah berhubung dan berbincang dengan pengendali Brown mengenai 1MDB.

Malah Rafizi sepanjang kariernya, beliau hanya sekali beliau pernah bekerjasama dengan Sarawak Report iaitu dalam sebuah skandal pembalakan di Sabah.

Terperangkap dengan jawapan sendiri

Rafizi berkata, kesemua perkara yang dibawa berkaitan dengan 1MDB berdasarkan laporan akhbar dalam dan luar negara dan semua soalan-soalannya di Parlimen

“Kebiasaannya apabila menteri kewangan tidak lagi ada ruang untuk berdolak dalih, maka Menteri Kewangan terpaksa memberi fakta mengenai 1MDB yang kemudiannya saya semak dan padankan dengan laporan-laporan lain.

“Setelah bertanyakan ratusan soalan sejak beberapa tahun lalu, jawapan-jawapan dari menteri kewangan sendiri yang memerangkap Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB ini,” katanya.

Justeru kata Rafizi laporan polis yang dibuat itu adalah “konspirasi jahat” untuk menutup isu 1MDB dengan memberi gambaran kononnya pemimpin pembangkang terlibat.

“Saya yakin konspirasi ini tidak akan berjaya kerana skandal 1MDB ini terlalu besar dan faktanya terlalu jelas untuk ditutup,” katanya.

Lihat Komen
ADS