Polis Sibu meluluskan permohonan dua individu untuk mengadakan perhimpunan awam sempena Hari Kemerdekaan Sarawak, Ahad ini.
Tay Swee Teck dan Franky Anong mulanya memohon permit mengadakan perhimpunan itu di Dataran Bandar Sibu diikuti perarakan ke Pintu Gerbang Sibu yang terletak satu kilometer dari Sibu.
"Kami meluluskan permit untuk perhimpunan tanpa perarakan. Laluan yang dicadangkan itu terletak di tengah-tengah bandar dan ia boleh mengganggu lalu lintas serta aktiviti harian penduduk," kata Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi dalam sidang media semalam.
Mohd Kamal turut memberi amaran polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang gagal mematuhi syarat permit itu.
Difahamkan kumpulan 'Sarawak untuk Sarawak' akan turut mengambil bahagian dalam perhimpunan awam tersebut.
Kumpulan itu sedang mendapatkan sokongan orang ramai untuk menggesa Dewan Undangan Negeri meluluskan undang-undang atau referendum bagi mengembalikan hak rakyat untuk bersuara.
- Bernama
