Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sayap PAS K'tan desak hukum tokoh tubuh GHB
Diterbitkan:  Jul 23, 2015 11:59 AM
Dikemaskini: 5:59 AM

Tiga Dewan PAS di Kelantan dan Dewan Himpunan Penyokong PAS negeri itu mendesak kepimpinan parti menjalankan satu prosiding tindakan tatatertib kepada pemimpin PAS susulan rancangan mereka manubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Mereka berkata tindakan perlu ekoran penglibatan beberapa tokoh PAS masih berjawatan dalam parti termasuk wakil rakyat PAS dalam ceramah pengisytiharan Gerakan Harapan Baru (GHB) di Kota Bharu baru-baru ini.

Dalam kenyataan bersama mereka, keempat-empat sayap PAS itu menganggap tindakan kumpulan pemimpin PAS itu sebagai "terbukti telah melakukan tindakan yang merugikan parti."

"Ia termasuklah menyampaikan ceramah di hadapan khalayak dan mempertikaikan PAS secara terbuka di dalam majlis ceramah tersebut.

"Kami sepenuhnya berpendirian bahawa tindakan tatatertib wajb diambil bagi menjaga keutuhan dan kestabilan parti dari diganggu gugat pihak yang mendakwa sebagai penyokong-penyokong Gerakan Harapan Baru (GHB) ini," kata mereka.

Desakan tersebut dinyatakan oleh Ketua Dewan Ulama PAS negeri Datuk Hassan Mahmood, Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof, Ketua Dewan Pemuda Ahmad Fadli Shaari dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Lim Guan Seng.

Mengulas lanjut, keempat-empat sayap PAS itu turut menegaskan pendirian beliau untuk menyokong kepimpinan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kerajaan negeri bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

"Ia sebagai satu gambaran kesepakatan yang dicapai ekoran serangan berterusan individu-individu yang dikaitkan dengan GHB terhadap kepimpinan parti dan kerajaan," kata sayap-sayap PAS itu.

Ekoran tersingkir pada pemilihan lalu, kumpulan profesional mengumumkan penubuhan GHB untuk mengasaskan penubuhan satu parti politik baru berteraskan Islam bagi memperjuang usaha penubuhan gabungan pembangkang “Pakatan Rakyat 2.0”.

Manakala Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengumumkan usaha mewujudkan muafakat politik lebih utuh merangkumi semua kumpulan progresif, termasuk NGO seperti BERSIH, Abim, Ikram dan Gerakan Harapan Baru.

Penubuhan pakatan baru pembangkang itu dikatakan tidak melibatkan PAS.

Bagaimanapun, PAS kini mengambil sikap 'tunggu dan lihat' berhubung cadangan penubuhan pakatan baru pembangkang yang akan tubuhkan tidak lama lagi.

Lihat Komen
ADS