Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini hadir di pejabat The Edge Media Group dan menyerahkan bunga sebagai simbolik solidariti kepada kumpulan media itu yang mengalami penggantungan permit selama tiga bulan.

Antara wakil NGO yang hadir ialah daripada BERSIH, Gerakan Media Marah (Geramm), Jaringan Orang Asal Semalaysia dan Teoh Beng Hock Trust for Democracy.

Kira-kira 20 orang wakil daripada setiap NGO masing-masing membawa bunga untuk diberikan kepada syarikat berkenaan.

Mereka mula berkumpul di perkarangan pejabat The Edge di Menara KLK, Mutiara Damansara kira-kira jam 12.30 tengah hari. Kumpulan itu turut melaungkan "Bebaskan media" dan "Hentikan penggantungan The Edge".

Selepas itu, jambangan bunga itu diberikan kepada wakil The Edge, iaitu pengurus besar pengedarannya, Joehari Abdul Jabbar.

Joehari mengucapkan terima kasih dan mengharapkan sokongan berterusan daripada semua pihak.

"Terima kasih kerana menyokong dan saya akan menerima (bunga ini) bagi pihak syarikat. Kami sangat menghargainya. Kami perlukan sokongan anda semua," kata Joehari.

Jumaat berhimpun lagi

Sementara itu, jurucakap Geramm Radzi Razak berkata, selain memberikan bunga pertubuhan wartawan berkenaan merancang berhimpun di pekarangan pejabat The Edge Jumaat depan.

"Tujuan utama kami berkumpul hari ini sebab menentang keputusan (penggantungan) yang dianggap tak adil kerana berniat tak baik kepada pengamal media di Malaysia.

"Jumaat ini kita akan buat perhimpunan lagi, jam 3 petang. Kita akan berkumpul ramai-ramai depan The Edge untuk membantah keputusan ini," katanya lagi.

Kementerian Dalam Negeri menggantung permit The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan bermula Isnin ini.

KDN dilaporkan bertindak demikian berdasarkan laporan media terbabit dalam isu 1MDB yang didakwa “memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menggemparkan pendapat umum atau mungkin memudaratkan orang awam atau kepentingan awam”.

KDN juga memberi amaran menarik balik permit Kumpulan Media The Edge jika syarikat itu terus menerbitkan akhbar berkenaan dalam tempoh penggantungan.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif The Edge Media Group, Ho Kay Tat mempertahankan laporan itu dan enggan meminta maaf.

Lihat Komen
ADS