Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebagai pemimpin Nombor 2 di dalam parti dan kerajaan, sudah pastilah Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai pandangan dan kekhuatiran sendiri mengenai apa yang sedang berlaku mutakhir ini.

Pandangan ini, sama sekali tidak wajar diangkat sebagai asas atau percikan bahawa berlakunya pertembungan pemikiran di antara pemimpin Nombor 1 dan  Nombor 2.

Saya benar-benar mengharapkan agar kita tidak terlalu cepat melihat “teguran dan pandangan” Tan Sri Muhyiddin ini sebagai mesej bahawa berlaku masalah dalaman di peringkat parti.

Saya juga mengharapkan agar kita dapat menyantuni teguran Tan Sri Muhyiddin ini dengan komitmen dan tekad baru untuk memperteguh semula kepercayaan rakyat.

Saya ingin menzahirkan rasa kesal kerana ada portal dan platform media baru yang sudah memberikan label dan gelaran kurang sesuai kepada pandangan Tan Sri Muhyiddin ini. Pada saya, ini tidak wajar berlaku.

Jangan kita terlalu cepat menggelar pemimpin kita itu dan ini. Biarkan pandangan dan teguran kekal sebagai nasihat demi kelangsungan parti. Tidak ada alasan dan sebab untuk kita bersikap kurang adab dalam mendepani pandangan seorang pemimpin utama di dalam parti.

Pokok pangkal kepada semua yang berlaku ini adalah persepsi buruk rakyat kerana kurangnya informasi dan perincian yang tepat mengenai isu 1MDB. Pada saya, ianya sedang ditangani dengan baik dan telus oleh kerajaan. Siasatan sedang berlaku, malahan beberapa individu telahpun ditahan untuk membantu siasatan.

Mungkin, apa yang dicadangkan oleh Tan Sri Muhyiddin itu boleh dijadikan sebagai asas awal untuk menyelesaikan isu kekurangan maklumat ini. Saya bersetuju benar jika laporan awal berkaitan isu 1MDB itu dibuka untuk nilaian dan pandangan rakyat.

Kita tidak boleh ada jurang masa yang terlalu lama dalam mengisi pengharapan dan keinginan rakyat. Mereka mahukan informasi, dan ianya wajar diberikan melalui laporan awal tersebut.

Sementara itu, siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas (Special Task Force) dan pihak lain wajar diteruskan tanpa sebarang sekatan dan gangguan. Laporan awal tidak bersifat konklusif – maka dengan itu ianya masih terbuka untuk dianalisis dengan sekomprehensif mungkin apabila siasatan lain sudah lengkap nanti.

Keberanian kerajaan untuk membuka dapatan kajian ini pastinya memberikan dimensi dan perspektif baru kepada isu ini. Sudah barang tentu, sukar untuk mana-mana pihak untuk melakukan putar belit kepada sebuah dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan. Yang penting, kita dapat menenangkan sedikit kekhuatiran yang sedang bermain di minda rakyat.


DATUK SERI REEZAL MERICAN ahli majlis tertinggi Umno dan MP Kepala Batas.

Lihat Komen
ADS