Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP tuntut laporan siasatan KLIA2 diumum segera
Diterbitkan:  Jul 27, 2015 4:40 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai diminta berhenti dari terus memberi alasan berhubung mendapan yang mengakibatkan takungan di terminal lapangan terbang antarabangsa bagi syarikat penerbangan tambang murah Air Asia.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin perkara tersebut amat mengejutkan kerana pihaknya telah acap kali membangkitkan isu tersebut dalam sidang Dewan Rakyat sebelum KLIA2 dibuka pada 2 Mei 2014 lagi.

Bagaimanapun, selepas lebih satu tahun beroperasi, masalah yang sama masih berterusan.

“Saya ingin mendesak menteri pengangkutan mengumumkan laporan siasatan tersebut dengan serta- merta. Ini adalah penting untuk memulihkan keyakinan para penumpang domestik dan antarabangsa tentang keselamatan mereka.

“Selepas tiga insiden nahas kapal terbang, Malaysia tidak berupaya lagi melengah-lengahkan masalah keselamatan penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, Sim juga menyifatkan Kementerian Pengangkutan gagal menyelesaikan masalah KLIA2 yang mana Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) didakwa boleh bertindak sewenang-wenangnya.

“Mengikut Plan Induk KLIA yang disediakan oleh Anglo-Japanese Corp Bhd, tapak utara adalah tanah kukuh yang lebih sesuai untuk membuat terminal baru.

“Tetapi MAHB mengambil keputusan membina KLIA2 di tapak barat yang merupakan tanah gambut. Ini telah diketahui sejak 1992!

“Selain itu, perubahan rekabentuk finger pier kepada satelit concept yang memakan belanja jauh lebih besar juga diputuskan oleh MAHB,’ katanya.

Setuju  Pelan Induk KLIA?

Jelas Sim lagi, keputusan yang boleh dipersoalkan tersebut telah dibangkitkan oleh ahli-ahli parlimen, tetapi sehingga sekarang belum dijawab.

Beliau mendesak menteri pengangkutan menjawab sama ada pihaknya bersetuju atau tidak dengan perubahan Pelan Induk KLIA oleh MAHB.

“Apakah rasional perubahan tapak tersebut? Apakah justifikasi perubahan rekabentuk kepada satelit concept? Siapakah yang membuat keputusan-keputusan tersebut, pegawai mana dalam MAHB dan Kementerian Pengangkutan?” soalnya.

Bloomberg hari ini melaporkan KLIA dua masih menakung air susulan rekahan di bahagian laluan teksi selain air juga didakwa bertakung di tempat laluan pesawat.

Menurut AirAsia Bhd, pengguna terbesar lapangan terbang itu, perkara itu boleh menyebabkan kelewatan penerbangan serta berpotensi mengundang risiko keselamatan.

Bagaimanapun MAHB pula berkata, pihaknya telah menurap kawasan terbabit namun masalah tersebut memerlukan penyelesaian kekal.

Pada Disember 2014, Menteri Pengangkutan mengumumkan satu jawatankuasa audit bebas yang diketuai oleh Datuk Dr Chuah Hean Teik untuk menyiasat sebab-sebab mendapan dan cara penyelesaiannya.

Laporan tersebut dikatakan sepatutnya diumumkan sebelum bulan bulan lalu.

Lihat Komen
ADS