Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PMO: TPM perlu tunggu siasatan 1MDB
Diterbitkan:  Jul 27, 2015 5:39 PM
Dikemaskini: 12:10 PM

Semua pihak lebih-lebih lagi anggota pentadbiran termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hendaklah menunggu hasil siasatan berkaitan 1MDB, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Muhyiddin dilaporkan menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan permasalahan negara terutama isu skandal 1MDB.
 
Jika tidak, isu itu akan menjadi beban kepada Umno sebagai parti yang mendukung kerajaan, kata beliau yang juga timbalan presiden Umno ketika berucap merasmikan penutupan mesyuarat agung Umno bahagian Cheras malam tadi.
 
Dalam satu kenyataan lewat petang ini, PMO berkata: "Sewajarnya kita mengelak membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan persepsi rakyat terhadap kepimpinan negara serta kerajaan dan Umno.

"Insya-Allah, jika kita tenang dan terus bersatu padu, kita akan dapat menangani cabaran ini dan mempertahankan sokongan rakyat kepada kerajaan dan parti.

"Sokongan rakyat terhadap kerajaan dan parti akan terhakis jika kita berbalah sesama sendiri," kata PMO lagi.

Dalam hal ini, tambahnya, tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang terus membuat pelbagai tuduhan yang tidak berasas termasuk kehilangan RM42 bilion kepunyaan 1MDB walaupun penjelasan telah dibuat oleh kerajaan, turut menyumbang kepada terhakisnya kepercayaan terhadap kerajaan dan parti.

"Kerajaan berharap semua pihak bersabar menunggu hasil siasatan yang sedang berjalan terhadap 1MDB. Ini bagi menentukan kesahihan tentang pelbagai dakwaan yang wujud.

"Pada masa yang sama, kita elakkan membuat kenyataan yang boleh mengganggu-gugat kestabilan kerajaan dan perpaduan parti dan negara," tambahnya.

Menurut kenyatan itu lagi, kerajaan telahpun mengambil tindakan yang sepatutnya bagi menangi tuduhan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak mengenai isu 1MDB.

Ini, katanya, termasuklah arahan kabinet untuk siasatan dibuat oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Selain itu, satu dokumen 'Fact Sheet' mengenai 1MDB telahpun diedarkan kepada semua menteri-menteri kabinet sebelum ini," tambahnya.

Satu pasukan petugas khas juga, katanya, telah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan oleh sebuah media asing bahawa dana 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, serta pendedahan bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd Xavier Andre Justo bahawa beliau telah menjual dokumen yang dicurinya kepada pihak tertentu yang dipercayai berkomplot untuk menggulingkan kepimpinan negara dan kerajaan.

"Siasatan sedang berjalan dan kita perlu memberi ruang kepada pihak yang terbabit untuk menjalankan tugas mereka," tegasnya. 

 

Lihat Komen
ADS