Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Susulan kelantangannya dalam isu 1MDB, ramai tertanya-tanya sejauh mana Tan Sri Muhyiddin Yassin tahu berkaitan kontroversi melanda  1MDB, syarikat cetusan ilham perdana menteri.

Diajukan soalan itu oleh pemberita hari ini, beliau tidak menyatakan secara langsung tetapi berkata ia lebih sedikit daripada pihak media.

"Saya tahu (mengenai 1MDB)  dari apa yang dikatakan dan bahan yang diberi.

“Dan apa yang saudara (pemberita) tahu  tentang 1MDB mungkin saya tahu lebih sikit," katanya dalam sidang media di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin hari ini mengadakan sidang media pertama selepas digugurkan sebagai timbalan perdana menteri semalam.

Selain itu, ahli parlimen Pagoh itu berkata, pihak kabinet sebelum ini diberi butiran fakta tentang 1MDB namun ia dianggap tidak memadai.

"Ya benar, jemaah menteri diberi fact sheet tetapi ia agak ringkas dan hanya menyatakan data-data yang hanya boleh dilihat dalam tempoh lima ke 10 minit.

"Walaupun diberi maklumat pada jemaah menteri tetapi (ia) tidak memadai. 1MDB lebih dari sekadar fact sheet . Sebab itu perlu dapat maklum balas untuk bantu saya buat keputusan dan pandangan yang saya rasa sesuai dengan 1MDB," katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno itu berkata, walaupun dipecat sebagai timbalan perdana menteri kerana didakwa "lantang" dalam isu 1MDb, beliau tidak menyesal.

Menurut Muhyiddin, beliau berpendapat  apa yang dilakukannya betul memandangkan sebagai seorang yang beragama Islam, beliau tidak akan berbohong ketika memberikan pendapat.

"Saya tak pernah menyesal apa yang berlaku kepada diri saya kerana saya nyatakan apa yang saya fikir benar dan hak.

"Sebagai Islam, tak boleh kita berbohong dan bila perlu beri pandangan, walaupun pedas oleh pihak tertentu, saya tetap perlu laksanakan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS