Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz: Jumpa Muhyiddin kunjungan biasa
Diterbitkan:  Jul 29, 2015 4:34 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata pertemuan beliau dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediamannya semalam adalah kunjungan biasa untuk mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin di atas jasa-jasanya terhadap Kedah selama ini.

"Sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan, banyak sekolah dan pelajar-pelajar di Kedah menerima faedah daripada penyaluran peruntukan yang diluluskan oleh Muhyiddin.

"Atas sebab itu, saya rasa terpanggil untuk sekurang-kurangnya berjumpa dengan beliau (Muhyiddin) dan mengucapkan terima kasih banyak daripada kerajaan negeri Kedah di atas semua budi baik beliau," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Rombakan semalam turut menyaksikan dua pemimpin dari Kedah iaitu bekas timbalan menteri tenaga, teknologi hijau dan air Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai menteri pendidikan manakala ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharom dilantik sebagai timbalan menteri pertahanan.

Pelantikan Mahdzir sebagai menteri pendidikan, yang dianggap jawatan kanan dalam Kabinet, merupakan satu penghormatan kepada Kedah, kata Mukhriz sambil mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri.

"Ia adalah kementerian yang amat mustahak," katanya dan mengucapkan tahniah kepada Mahdzir yang juga bekas menteri besar Kedah.

Ditanya sama ada rombakan Kabinet semalam akan menimbulkan masalah kepada Umno, Mukhriz berkata beliau yakin Najib selaku presiden parti telah membuat penilaian mendalam tentangnya.

"Saya rasa presiden sudah tentu menilai sedalamnya mengenai reaksi dan persepsi rakyat terhadap rombakan ini, kerana tentunya kita berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kita menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya.

Menurutnya Najib mungkin melakukan kajian tertentu bagi mengukuhkan rasional di sebalik keputusan melakukan rombakan Kabinet itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS