Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi disaman isu hartanah MARA
Diterbitkan:  Jul 30, 2015 4:59 PM
Dikemaskini: 1:25 PM

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun memfailkan saman terhadap ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli kerana didakwa memfitnahnya dalam isu melibatkan transaksi harta tanah Majlis Amanah Rakyat (MARA) bernilai RM63 juta.

Beliau berkata tindakan undang-undang tersebut dibuat selepas Rafizi gagal memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.

“Saya membuat keputusan ini atas dasar menegakkan kebenaran dan mempertahankan maruah institusi pergerakan Pemuda Umno Malaysia serta jawatan yang telah diamanahkan kepada saya.

"Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan (Rafizi itu) adalah tidak betul serta berniat jahat kepada saya dan Pemuda Umno," katanya dalam kenyataan.

Khairul Azwan ( gambar ) berkata meskipun beliau menyokong perdebatan sihat, perbezaan pendapat serta percambahan idea, “budaya pembohongan” tidak boleh diterima.

Rafizi sebelum ini mendakwa lima pemimpin Pemuda Umno terbabit dalam tiga pembelian harta tanah di Australia yang belum didedahkan, iaitu 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street.

Beliau membina kaitan Pemuda Umno ini dalam sebuah syarikat bernama Thrushcross Land Holdings Limited yang didaftar di pusat kewangan pesisir luar pantai British Virgin Island (BVI).

Malah, lebih mengejutkan, syarikat tersebut didakwa didaftarkan hanya selepas pembelian hartanah di 746 Swanston Street itu selesai.

Namun, Khairul Azwan menafikan tuduhan pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) itu.

Lihat Komen
ADS