Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Australia 'semakin yakin' serpihan milik MH370
Diterbitkan:  Jul 31, 2015 3:00 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Seorang pegawai atasan Australia berkata pihak berkuasa yang mencari Penerbangan MH370 'semakin yakin' bahawa serpihan yang dijumpai di sebuah pulau di Lautan Hindi berasal dari kapal terbang yang hilang itu, menurut AFP.

Agensi itu melaporkan serpihan berukuran dua meter panjang itu akan dihantar  ke Perancis untuk dianalisis, dengan harapan tinggi bahawa ia akan menjadi bukti pertama menunjukkan pesawat itu jatuh di Lautan Hindi.

Para penyiasat juga berharap mereka akan semakin hampir menyelesaikan misteri yang menyelubungi pesawat Malaysia Airlines Boeing 777, yang hilang tanpa dapat dikesan 16 bulan lepas bersama 239 penumpang.

"Kami semakin yakin serpihan itu berasal daripada MH370.

"Bentuk objek itu kelihatan seperti bahagian tertentu yang dikaitkan hanya dengan pesawat 777," kata Martin Dolan, ketua pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia yang mengetuai pencarian MH370, kepada AFP.

Dolan, bagaimanapun, senada dengan kenyataan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis, bahawa objek itu besar kemungkinan berasal dari Boeing 777, tetapi memberi amaran bahawa ia masih perlu disahkan, lapor agensi berita itu.

Pesawat berkenaan hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur.

- Bernama

Lihat Komen
ADS