Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kelemahan parti itu berpunca daripada kalangan ahlinya sendiri kerana kurang yakin dengan kepimpinan.

Katanya, ia jelas dalam kontroversi 1MDB yang menyaksikan ahli parti itu begitu mudah terpengaruh dengan pembangkang yang jelas mahu melihat Umno musnah.

"Umno lemah hari ini mengapa? Ia kerana ahli-ahlinya lemah.

"Lebih 30 peratus ahli-ahli parti suka mengadu domba, menyebarkan fitnah dan mereka mudah terpengaruh dengan cerita-cerita dari pihak pembangkang.

"Ini masalah Umno," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lembah Pantai di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Umno kini sedang dibelit pelbagai isu politik semasa khususnya kontroversi 1MDB yang membabitkan presidennya Datuk Seri Najib Razak.

The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dideposit ke dalam apa akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Najib telah menafikan telah mengambil dana kerajaan untuk kepentingan peribadi dan menuntut penjelasan akhbar itu melalui peguamnya.

Sementara itu, Tengku Adnan yang anggota jawatankuasa Umno Pantai, berkata pembangkang sengaja mengambil kesempatan dalam suasana politik hari ini dengan memperkotak-katikkan pemimpin negara.

Katanya, tindakan sabotaj pembangkang itu boleh dilihat melalui nahas pesawat MH17 dan tragedi MH370 di mana mereka secara jelas menyalahkan kerajaan.

“Hari ini kita dapat lihat puak-puak gabungan pembangkang, mereka mengambil kesempatan untuk melemahkan Umno sehingga pucuk pimpinan kita juga diperkotak-katikkan  dan diperkata-katakan dan kita ahli Umno termakan (dakwaan pembangkang).

“Bila MH17 ditembak, bila MH370 hilang…semua mengeluarkan kenyataan di media sosial, semua orang mahu jadi pakar penerbangan, pakar kejuruteraan, pakar DCA (Jabatan Penerbangan Awam) dan semuanyalah,” jelasnya.

Tengku Adnan yang mesra dipanggil Ku Nan berkata ahli Umno sewajarnya menghayati cogan kata parti itu “Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat” agar tidak mudah terpengaruh dengan apa yang dikatakan pihak lawan.

“Bersatu… Dia minta kita semua bersatu sebab Umno ada Perlembagaan kita kena ikut perlembagaan kita supaya bersatu untuk bergerak ke hadapan kerana Umno merupakan payung bukan sahaja kepada Melayu tetapi kepada bangsa-bangsa lain seperti Cina, India, Kadazan dan Iban,” ujarnya.

Malah, beliau juga mengingatkan parti itu agar tidak secara terbuka untuk berkongsi strategi mereka dalam memperkuatkan Umno kerana ia akan memberi ruang dan peluang kepada lawan untuk melemahkan kepimpinan parti.

“Saya  gembira dengar cerita ketua bahagian dengan pelbagai program yang akan diadakan kelak, tapi kita mintalah lain kali kalau ada orang luar jangan ceritakan semuanya (agenda parti).

“Bila cerita habis strategi kita orang luar akan dapat tahu. Bila majlis tertutup baru kita cerita habis-habis,” tegasnya.

Lihat Komen
ADS