Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hisham: Hak bahagian undang siapa saja ke AGM

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata adalah menjadi hak mana-mana bahagian parti itu untuk mengundang sesiapa sahaja pemimpin parti termasuk Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merasmikan persidangan perwakilan bahagian berkenaan.

"Sama ada berminat untuk menjemput atau tidak, itu adalah hak bahagian tetapi pucuk pimpinan tertinggi parti berkata tiada sekatan bagi mana-mana bahagian untuk menjemput beliau (Muhyiddin)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Batu, di sini, Ahad.

Hishammuddin mengulas tindakan beberapa bahagian UMNO yang membatalkan hasrat untuk mengundang Muhyiddin sebelum ini bagi merasmikan persidangan perwakilam bahagian berkenaan.

Tindakan membatalkan undangan itu berlaku selepas pengguguran Muhyiddin daripada senarai Kabinet baharu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Julai lalu.

Dalam susunan Kabinet baru itu, jawatan Timbalan Perdana Menteri disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan turut melahirkan keyakinan bahawa isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dapat diselesaikan pada hujung tahun ini.

"Semuanya berkisar pada masa. Yang penting kita harus rasionalisasi dalam penstrukturan semula 1MDB, biar ada tadbir urus dan akauntabiliti dalam penyiasatan.

"Dan kita hadapkan individu yang bersalah ke mahkamah tetapi semuanya perlukan masa. Kita biarkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menjalankan siasatan dan jangan mengganggu mereka dengan menyerang dalam media sosial," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS