Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan dakwaan kononnya beliau berhasrat mahu menumbangkan kerajaan.

Muhyiddin menegaskan, selaku orang nombor dua di dalam parti yang ditunjangi orang Melayu, adalah tidak munasabah dan tidak ada niat untuk beliau melakukan perkara itu sebaliknya akan terus membantu menegakkan kerajaan.

"Sejak bila saya mahu jatuhkan kerajaan. Dua hari selepas saya digugurkan daripada kabinet, saya tidak pergi ke mana-mana dan hanya duduk di rumah," katanya berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kluang, di Kluang, Ahad.

Persidangan bahagian itu merupakan yang pertama dirasmikan Muhyiddin selepas beliau digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa lepas.

Muhyiddin sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk terus membantu Najib mengukuhkan UMNO, dan pada masa yang sama akan tetap menyuarakan pandangannya demi kelangsungan parti itu.

Beliau mengakui adanya 'bisik-bisik' dari pelbagai rakan politik yang memberi amaran kepadanya supaya berhati-hati dalam sebarang tindakan dan percakapan bagi mengelakkan karier politik beliau terkubur.

"Sekarang saya sudah ada masa untuk isteri dan anak-anak, namun, saya akan kekal, selagi tanggungjawab ada, saya akan bantu Presiden dan tidak lepaskan tanggungjawab.

"Kita kena susun langkah untuk mengatasi pelbagai masalah negara seperti beban kos hidup rakyat dan hal-hal berkaitan keselamatan," katanya.

Muhyiddin berkata beliau tidak mengambil hati dengan tindakan sesetengah bahagian UMNO yang bertindak menarik balik jemputan untuk beliau merasmikan persidangan perwakilan bahagian berkenaan.

Menurut Muhyiddin, kesediaan UMNO Bahagian Kluang meneruskan jemputan dan dengan sokongan Badan Perhubungan UMNO Johor yang meminta beliau terus dihormati sebagai Timbalan Presiden parti membuktikan UMNO Johor menghormati institusi kepimpinan dan jawatan yang dipilih menerusi pemilihan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS