Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan semua anggota parti supaya bersatu dan tidak memecah belahkan parti, sebaliknya berusaha untuk memerangi musuh dari luar.

Timbalan Perdana Menteri berkata semua anggota UMNO perlu keluar dari zon selesa dan mengambil pendekatan yang lebih berstruktur dalam mendepani musuh terutama perubahan gelombang teknologi komunikasi.

Pihak musuh kini menggunakan teknologi di hujung jari untuk mencari dan mencipta kesilapan agar UMNO nampak bodoh, mundur dan tidak relevan, katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru di George Town, Ahad.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru Datuk Ir Mansor Musa dan barisan kepimpinan UMNO bahagian Bayan Baru.

"Kita harus berada di barisan hadapan, kita perlu terus memperkasakan UMNO. Kita perlu terus mara dan maju sebab permasalahan kita sukar dipecahkan dari luar tetapi mudah sangat untuk dipecahkan dari dalam. Apa yang berlaku di kalangan kita adalah usaha untuk memecahkan dari dalam," katanya.

"Ya, perbezaan pendapat di kalangan kita boleh diraikan. Anda boleh membenarkan perbezaan pendapat. Islam juga membenarkan perbezaan pendapat tetapi akhlak yang harus ada di dalam menangani perbezaan itu mesti ada ketertiban, tatasusila, ada usaha untuk menjaga air muka walaupun berbeza pendapat," katanya.

Beliau berkata persepsi yang dicipta oleh pihak musuh itu menyebabkan khalayak mempercayai fitnah mereka sehingga UMNO dan Barisan Nasional kecundang di beberapa negeri pada pilihan raya umum yang lepas.

Katanya budaya selesa akan menghalang anggota UMNO daripada menguasai teknologi baharu dalam bidang komunikasi.

"Bagaimanapun, ada di kalangan kita yang menguasai bidang ini. Tetapi bukan untuk melawan musuh, lawan sesama sendiri, cucuk sana sini, jatuhkan kawan sesama sendiri.

"Budaya itu harus dimuktamadkan dan diselesaikan dengan meletakkan noktah besar, jangan berperang sesama sendiri berperang untuk melawan musuh," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan UMNO terus relevan setiap anggota parti perlu sentiasa bermuhasabah diri dan berubah bukan sahaja dari segi retorik dan lisan tetapi perubahan dalam pendekatan.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau akan menjalankan tanggungjawabnya dengan berlaku adil kepada semua lapisan rakyat.

"Bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab, apa lagi tanggungjawab ini boleh diinterpretasikan dengan pelbagai cara. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Tetapi apa sahaja yang dipikul dan terpikul itu maka pemikulan itu harus diterjemahkan dengan tindakan yang penuh keikhlasan supaya apa sahaja fitnah yang datang Allah akan memberikan panduan kepada kita.

Apabila kita bergerak, kita perlu bergerak ke hadapan, tidak melihat ke belakang. Bergerak ke hadapan bersama-sama saya dan presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS