Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saranan hanya penduduk tempatan jadi pengundi
Diterbitkan:  Aug 3, 2015 6:17 AM
Dikemaskini: Aug 3, 2015 3:10 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran mengambil langkah bagi menentukan hanya penduduk tempatan di sesuatu kawasan pilihan raya dibenarkan mendaftar sebagai pengundi.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ia bertujuan mengatasi masalah peningkatan jumlah pengundi luar di sesebuah kawasan pilihan raya, sekaligus mengelakkan parti politik memanipulasikan pengundi untuk kepentingan mereka.

Di sesetengah kawasan seperti di kawasan Parlimen Lembah Pantai, katanya jumlah pengundi luar yang bertukar alamat ke kawasan itu adalah melebihi bilangan pengundi sedia ada.

Menurutnya, perbuatan itu telah memberi kelebihan kepada lawan BN sehingga ia berjaya memenangi beberapa kawasan, tetapi akhirnya wakil rakyat terpilih mengabaikan rakyat selepas berjaya mencapai matlamat itu.

"Sekarang Lembah Pantai siapa yang jaga... Raja Nong Chik, wakil rakyat ada peduli? Dia tahu dia akan menang sebab ada pengundi luar. Sebab itu SPR perlu meneliti perkara ini," katanya ketika merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lembah Pantai, semalam.

Tengku Adnan yang juga pengerusi badan perhubungan Umno, Wilayah Persekutuan berkata pemindahan pengundi luar ke Lembah Pantai telah dikesan sebagai antara faktor kekalahan BN di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Pengundi luar di kawasan itu rata-rata tidak mengundi BN kerana mereka tidak tahu apa perkembangan dan perubahan yang telah Umno-BN usahakan sejak dulu, katanya.

Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut menasihatkan para perwakilan supaya tidak mudah terpengaruh dengan isu yang sengaja dimanipulasi pihak tertentu dengan tujuan menimbulkan kemarahan orang ramai.

Perwakilan seharusnya menjadi perisai kepada parti dan tidak mudah berkongsi maklumat yang viral di media sosial kerana kebanyakan maklumat itu adalah tidak berasas, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS