Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M berani akaunnya 22 tahun dibongkar
Diterbitkan:  Aug 3, 2015 11:24 AM
Dikemaskini: 10:28 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau sedia akaun peribadinya selama 22 tahun menjadi perdana menteri sebelum ini diperiksa bagi membuktikan bahawa beliau telus.

Katanya bagi menghalalkan tuduhan RM2.6 bilion wang berada dalam akaun Datuk Seri Najib Razak, beliau pula dituduh perkara sama.

“Tidak ada satu sen pun dari wang derma untuk pilihan raya yang dimasuk dalam akaun saya.

“Saya sedia semua akaun peribadi saya selama 22 tahun diperiksa oleh orang yang tidak ada kepentingan bagi mengesahkan pengakuan saya ini atau sebaliknya,” katanya.

Menulis dalam blognya hari ini, Mahathir menghuraikan panjang lebar berkaitan kewangan beliau dan Umno selama ini.

Katanya, sewaktu beliau masih presiden parti, ibu pejabat Umno mempunyai tiga pemegang amanah, yang dinamakan sebagai pemilik saham dan harta tanah parti itu.

Serah saham, hartanah RM1.2 bilion

Beliau salah seorang daripadanya yang memiliki akaun bank yang mana semua derma, terutama semasa pilihan raya dimasukkan dalam akaun itu.

Bagaimanapun, katanya, selepas meletakkan jawatan, beliau telah mengarahkan semuanya diserahkan kepada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi ( bawah ), melalui pegawai Nor Mohamad Yacob dan Noordin Bachik.

“Jumlah wang tunai yang diserah melebihi 200 juta ringgit. Jumlah nilai saham dan hartanah melebihi 1.2 bilion ringgit,” katanya.

Mahathir juga menceritakan bagaimana beliau didenda oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri selepas beliau disingkir daripada parti pada 1970 selepas didakwa tidak melaporkan pendapatan sepenuhnya.

“Mereka mendenda saya sebanyak RM300,000 dengan amaran jika saya bantah dan pergi ke mahkamah saya akan dikenakan denda tiga kali ganda.

“Saya tidak pergi ke mahkamah. Sebaliknya saya merayu bahawa duit yang dimasukkan dalam akaun saya ialah dari parti. Tetapi ibu pejabat Umno tidak mengaku wang itu dari Umno.

“Akhirnya saya dikenakan denda sebanyak RM130,000. Di waktu denda ini dikenakan saya sudah dilantik menteri dalam kerajaan. Saya membayar secara beransur-ansur dan selesai bayaran semasa saya menjadi timbalan perdana menteri,” katanya.

Lihat Komen
ADS