Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada 1 Ogos, sejumlah 34 orang anak muda ditangkap, termasuklah Aunty Bersih atau Annie Ooi, Puan Nashita dan anaknya yang berusia 14 tahun sebelum perhimpunan diadakan.

Mereka ditahan pada hari kejadian dan diperlakukan seperti penjenayah nombor satu negara.

Sehari sebelum itu, beberapa anak muda iaitu Syukri Razab dan Adam Adli telah dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk keterangan mengenai perhimpunan dan diberikan jaminan tiada tangkapan akan dibuat.

Namun mereka tetap ditahan, termasuk seorang lagi aktivis, Mandeep Karpal selepas itu. Ini jelas satu usaha pencegahan dengan penangkapan sebelum perhimpunan.

GMR mengecam penahanan aktivis dan peserta oleh pihak PDRM kerana tindakan itu mencabul Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 yang menggariskan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Para aktivis itu ditahan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan berhubung kesalahan mengganggu-gugat demokrasi parlimen yang jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan selama dua puluh tahun.

Walhal, perhimpunan anak muda ini bukan sahaja tidak mengganggu gugat kuasa demokrasi parlimen malah satu amalan yang dituntut demokrasi.

Penangkapan ini meletakkan demokrasi di satu sudut yang rapuh, dan tidak mengangkat nilai-nilai demokrasi itu sendiri.

Penglibatan perhimpunan anak muda ini adalah satu pemerkasaan proses demokrasi dan juga sebagai agen timbal balik kepada kerajaan. Demokrasi bukanlah hanya pembuangan undi pada hari pengundian.

Sebagai anak muda mereka sepatutnya diberi peluang untuk bersuara tentang hala tuju negara apabila timbul pelbagai skandal politik yang tidak terduga.

Anak muda ini berhak bersuara ke atas isu hutang 1MDB berbilion ringgit, pelucutan jawatan timbalan perdana menteri, peguam negara, dan terbaru penangkapan pendakwa raya SPRM yang juga menjejaki skandal 1MDB.

Skandal seperti inilah yang sebenarnya menganggu-gugat dan meruntuhkan demokrasi negara serta merosakkan kredibiliti Malaysia di pandangan masyarakat antarabangsa.

Dalam sebuah negara yang menuju ke arah demokrasi matang, para pemimpin tidak harus bersifat kuku besi.

Setiap kebimbangan rakyat adalah sesuatu yang disantuni kerajaan dan bukanlah dilayan seperti penjenayah menggunakan instrumen kerajaan yang sepatutnya berkhidmat kepada negara.

Anggota keselamatan ini tidak seharusnya berkhidmat kepada individu atas kepentingan politik pihak-pihak tertentu dan menggasak rakyat sedemikian rupa.

Kegusaran kami dalam permasalahan ini selari dengan tuntutan kami dalam Deklarasi Gabungan Merdeka Rakyat iaitu antaranya:

- Tuntutan Kebebasan Suara, Himpun dan Persatuan

- Mansuh Akta Hasutan 1948 dan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang mencabar kedaulatan Perkara 10 Perlembagaan Malaysia.

- Perkasa dan selia pembukaan ruang awam untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Kami juga mengecam penangkapan yang dibuat secara kasar oleh pihak polis. Antara tuntutan GMR juga ialah penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk memantau operasi polis.


TYRA HANIM timbalan presiden Gabungan Merdeka Rakyat.

Lihat Komen
ADS