Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno Semporna membatalkan undangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk merasmikan mesyuarat agung tahunannya yang dijadual pada 15 Ogos ini.

Sumber-sumber yang rapat dengan ketua bahagiannya Datuk Seri Shafie Apdal, yang digugurkan sebagai menteri sebelum ini, mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini .

“Pembatalan dibuat atas kehendak ahli akar umbi.

“Kami takut keadaan menjadi tidak terkawal jika jemputan itu diteruskan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau enggan menyatakan sebabnya, bagaimanapun dipercayai susulan reaksi balas terhadap pengguguran ketua mereka, yang juga salah seorang naib presiden Umno.

Sumber juga berkata pertimbangan lain diambil kira termasuk soal keselamatan Najib serta senario semasa.

“Kepimpinan Umno bahagian sudah membuat persiapan lengkap menunggu kehadiran presiden; namun ia perlu disesuaikan semula kerana tidak mahu ada nanti provokasi dari pihak luar yang akan mengambil kesempatan daripada isu semasa,” katanya.

Pada rombakan kabinet Selasa lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengguguran Shafie sebagai menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Selain Shafie, Najib turut menggugurkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dan tiga lagi timbalan menteri.

Shafie pulang bersambut

Pengguguran Shafie dan Muhyiddin dikaitkan dengan kelantangan mereka dalam isu 1MDB yang menjadi duri dalam daging pentadbiran Najib.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Semporna Datuk Nasir Tun Sakaran ketika dihubungi hanya enggan memberi sebarang sebarang maklum balas.

Beliau sebaliknya meminta Malaysiakini menunggu esok selepas mereka mengadakan mesyuarat, dijangka bagi membincangkan perkara itu, esok.

“Saya tak nak komen, takut akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya hanya dapat sahkan selepas mesyuarat esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Shafie dilapor pulang ke Semporna semalam dan disambut sekumpulan penyokongnya di  Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Kepulangan itu yang pertama selepas disingkir daripada kabinet minggu lepas.

Lihat Komen
ADS