Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes rasuah, SPRM akan dakwa 6 penguatkuasa
Diterbitkan:  Aug 4, 2015 3:23 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang akan mendakwa enam penguatkuasa agensi kerajaan yang didakwa terlibat dalam kes meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Kuantan Khamis ini.

Pengarah SPRM Negeri, Datuk Zainul Idrus berkata enam penguatkuasa berkenaan akan dituduh di bawah Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Katanya, mereka adalah penguatkuasa lelaki yang berumur dalam lingkungan umur 20-an hingga 50-an dan terlibat dalam operasi menahan lori di kawasan Muadzam Shah-Rompin hujung Disember lepas yang didakwa melibatkan suapan berjumlah RM30,000.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penerangan SPRM bersama ketua-ketua jabatan dan komuniti serta sambutan Hari Raya di Kuantan hari ini.

Dalam pada itu Zainul berkata pihaknya menerima maklum balas positif dan menerima sokongan dari kalangan masyarakat dalam usaha SPRM membanteras gejala rasuah terutama dalam isu pembalakan di negeri ini.

"Kita juga ingin maklumkan kepada orang awam jangan khuatir untuk memberi maklumat atau melaporkan kepada SPRM jika berlaku sebaran kes rasuah.

"Kita akan cuba sedaya upaya siasat dan pastikan pelaku yang terlibat akan diseret ke muka pengadilan dan didakwa di mahkamah," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS