Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kepada semua teman yang pernah menghina dan memperlekeh integriti perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, adalah lebih baik kalian semua menginsafi perbuatan kalian dan bertaubatlah jika perlu.

Saya sendiri berasa amat takut dengan dosa akibat pelbagai hamburan dan tohmahan selama ini terhadap Najib dan keluarganya.

Kalau boleh ingin saja saya hadir melawat Seri Perdana dan merafak kemaafan dengan setulus ikhlas serta memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau. Ingin saja saya bersalam dan mencium tangan Datin Seri Rosmah Mansor jika ini dibenarkan.

Pengakuan saya ini sama sekali tidak bermaksud membodek hanya kerana beliau seorang jutawan, mohon jangan sesekali tindakan saya ini disalah erti.

Saya benar-benar ikhlas. Janganlah ditambah dosa kering saudara sekalian. Cukuplah jika yang sedia ada itu mengheret kalian ke neraka.

Ingin saya imbas di sini, Najib lahir dari kalangan bangsawan iaitu Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak. Beliau diberi didikan terbaik dari dalam dan luar negara.

Beliau cukup berkarisma bukan sahaja untuk memimpin tiga juta ahli Umno seluruh dunia, malah untuk menjadi nakhoda melayarkan negara ini menjadi sebuah negara maju. Saya maksudkan layar bahtera, bukan layar perak.

Malah beliau juga mempunyai jodoh yang baik di kalangan terbaik, kerana sudah tertulis orang yang soleh akan bertemu jodoh yang solehah. Rosmah wajar menjadi ikon kebangsaan sebagai Wanita Pertama yang menjadi tulang belikat buat perdana menteri kita.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengumumkan bahawa RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi Najib merupakan sumbangan penderma.

Oleh itu, saya melihat segala tindak-tanduk Najib mentadbir negara ini khususnya rombakan kabinet yang dibuat minggu lalu adalah bertepatan.

Sekurang-kurangnya telah diakui dan disahkan wang tersebut selamat di akaun perdana menteri kita. Ia lebih baik berbanding tidak mengaku apa-apa atau menafikannya.

Kita maklum bahawa wang sebanyak RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib adalah duit derma, bukan duit penyelewengan atau rasuah mana-mana pihak dan ia tiada kena-mengena dengan 1MDB seperti yang dilaporkan.

Tuduhan melampau oleh bekas TPM dan Tun Mahathir akhirnya terjawab hingga Mahathir sendiri terpaksa akui kemungkinan Muhyiddin melakukan jenayah besar hingga terpaksa diketepikan dari kabinet Najib.

Malahan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga presiden parti Islam PAS juga sudahpun menyebut bahawa Najib tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

Ia adalah satu penilaian yang tepat oleh seorang ulama. Apakah kita ular yang biasa-biasa ini berani membangkangnya? Sokongan Hadi Awang ini harus menjadi azimat untuk kita semua memberi sokongan padu terhadap Najib Razak.

Janganlah pula kita persoalkan dari mana sumber datangnya sejumlah wang bernilai RM2.6 bilion. Siapa yang menderma yang tidak penting asalkan yang menderma itu ikhlas kerana Allah, tangan yang memberi adalah lebih baik daripada tangan yang menerima. Siapa kita untuk menilai sebuah keikhlasan?

Jumlah RM2.6 bilion itu juga amatlah kecil jika dibandingkan dengan jumlah hutang negara sebanyak RM800 bilion. Tidakkah kalian nampak jurang perbezaan yang ketara? Justeru saya fikir janganlah perihal derma RM2.6 bilion ini diperbesarkan.

Janganlah pula kita tanya ke mana wang ini dibelanjakan. Sebagai rakyat, kita boleh sahaja mempersoal penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam negara ini, contohnya skandal 1MDB.

Namun wang derma yang masuk terus ke akaun DS Najib adalah hak beliau untuk membelanjakannya dengan berhemah. Siapa tahu, ribuan rumah mangsa banjir di Kelantan yang siap sebelum raya tempoh hari mungkin sebenarnya dari wang RM2.6 bilion ini?

Tidak hairanlah mengapa parti pembangkang PAS bersikap mesra BN umpama salah sebuah parti komponen.

Ada juga pihak yang membuat tuduhan, tanpa sebarang bukti, bahawa wang RM2.6 bilion ini digunakan sebagai dana perbelanjaan pilihan raya umum ke-13.

Hanya secara kebetulan, wang ini masuk ke dalam akaun tersebut dua bulan menjelang pilihan raya umum.

Tetapi ini tidak boleh dijadikan sandaran kepada dakwaan bahawa ia digunakan untuk kempen pilihan raya. Lagipun, wang ini masuk ke akaun peribadi, bukan akaun parti. Jadi janganlah dipertikaikan kemenangan BN dalam pilihan raya lalu.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memberi nasihat kepada semua rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak gopoh dalam membuat penilaian.

Janganlah kita memilih demonstrasi jalanan hanya kerana wang derma RM2.6 bilion ini. Negara kita ada undang-undang, malah ada peguam negara baru yang jauh lebih matang.

Demonstrasi jalanan hanya akan menyebabkan negara mampu menjadi huru-hara. Walaupun jutaan umat Malaysia berada di Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 29 Ogos nanti, pihak polis pastinya sudah bersedia dengan pelbagai kelengkapan termasuklah gas pemedih mata dan air gatal dari semburan meriam.

Garam yang sedikit tidak mampu merawat kepedihan mata, dan walaupun setiap yang hadir membawa payung hitam, ia mungkin tidak mampu menghadang corong canister yang terbang ke arah kalian, apatah lagi semburan air gatal.

Janganlah salahkan pihak berkuasa sekiranya kalian dipukul dengan cota, dan dipijak dengan kasut but besi. Saya tahu kalian semua sangat berani, saya tahu kalian tidak takut mati demi tanah air, tetapi sayangilah diri sendiri dan keluarga.

Jika marah sangat pun, cukuplah hambur kemarahan di media sosial, kerana mungkin itu sahaja kualiti kita.

Janganlah hadir berdemo dalam aksi Bersih 4 hujung bulan nanti hanya kerana wang derma RM2.6 bilion. Ia mungkin akan menyebabkan kehancuran ke atas negara ini, walaupun kita mampu saja bina semula dengan lebih baik.

Tetapi, lebih baik lagi, jangan ambil risiko kerana tanpa risiko tiadalah perubahan. Ada juga yang berkata "The biggest risk is not taking any risk", ini jangan dipercaya.

Kita harus berterima kasih kerana masih bernafas dengan percuma, dan dibayar elaun BR1M setiap tiga  hinggan empat bulan, ini idea Najib bukan Ahmad Maslan.

Ingin juga saya bertanya di sini, berapa ramai di antara kita yang sudah berterima kasih kepada Najib yang menurunkan harga petrol sepuluh sen walaupun ketika ringgit menjunam hampiri RM4 sedolar?

Kita harus bersyukur negara ini masih lebih baik dari negara yang rakyatnya kebuluran. Negara kita ini belum ada yang kebuluran, jadi mengapa perlu kita lawan kerajaan? Malah kita juga harus berbangga kerana mempunyai seorang Perdana Menteri sanggup bertahan walau apa pun rintangan.

Saya bangga menjadi sebahagian rakyat Malaysia yang terus bersabar. Bersabar itu bukan bermaksud dungu, ia lebih dari itu.


EDY NOOR REDUAN seorang aktivis dan penulis blog.

Lihat Komen
ADS