Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zambry: Spekulasi tukar MB Perak tak ganggu tugas
Diterbitkan:  Aug 4, 2015 6:31 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Dakwaan pembangkang kononnya akan berlaku perubahan di peringkat kepimpinan kerajaan negeri Perak termasuk pertukaran Menteri Besar sama sekali tidak mengganggu tugas beliau, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. 

Beliau berkata spekulasi politik sedemikian bukan pertama kali dicetuskan pembangkang tetapi ia berlaku sejak 2012 lagi.

"Ini adalah kerja-kerja spekulator politik, kerja mereka memang menjadi spekulator... ada sedikit perubahan mereka akan buat spekulasi.

"Ini bukan pertama kali (pembangkang buat spekulasi), (berlaku) dari 2012, 2013, kononnya (dakwa) sebelum ini saya sudah tidak bertanding, kemudian 2013 saya sudah tidak jadi menteri besar, selepas itu 2014 (saya) akan ditukar," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak di Ipoh hari ini.

Zambry berkata beliau tidak pernah panik dan gelisah, malah akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai menteri besar untuk menjaga rakyat di Perak.

PAS kawasan Kuala Kangsar sebelum ini mendakwa pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri ke-11 yang satu-satunya berasal dari Perak turut menyumbang kepada perubahan yang bakal berlaku.

PAS kawasan itu juga mendakwa sudah tentu dengan perubahan dan rombakan kabinet baru-baru ini akan turut disusuli perubahan di peringkat kepimpinan kerajaan negeri termasuk pertukaran menteri besar.

Berhubung pembangkang tidak mahu dedah sumber kewangan parti, sebagaimana dicadangkan oleh perdana menteri, Zambry berkata jangan hanya mengkritik satu pihak sahaja.

"Sekiranya ada usaha-usaha yang mana mereka (pembangkang) selama ini bercakap soal keterbukaan, transparensi dan sebagainya kononnya politik baru, politik yang lebih bermaruah dan sebagainya.

"Apabila ada usaha ke arah itu mereka perlu sokong tetapi kenapa pula mereka menuduh barisan nasional 'bagai parti yang penuh dengan corruption'. 

"Apabila PM syorkan supaya semua parti melalui jawatankuasa SPRM adakan satu pengisytiharan sumber, kenapa mereka tak nak, ini jelas menunjukkan sikap mereka yang sebenar," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS