Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Nak belanja macam mana bukan masalah anda'
Diterbitkan:  Aug 4, 2015 6:41 PM
Dikemaskini: 12:30 PM

Laman web pro Datuk Seri Najib Razak MYKMU hari ini tampil menjawab pelbagai persoalan berkaitan kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam akaunnya.

Ia bagaimanapun tidak menjawab bagaimana wang tersebut dibelanjakan atas alasan “bukan masalah anda”.

“Wang tersebut dibelanjakan ke mana? Bukan masalah anda.

“Ini hanya isu antara penderma, penerima dan MT Umno,” menurut MYKMU dalam tulisan berjudul “Nota Kaki Untuk Seorang Anak Menteri Besar”.

Tulisan itu dipercayai ditujukan kepada anak kepada Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin, Akmal Saufi ( gambar ), yang menghamburkan pelbagai persoalan panas di sebalik itu itu.

Akmal Saufi, 28, yang juga pengarah Sukarelawan Pemuda BN (BNYV) membangkitkan pelbagai persoalan berkaitan derma itu, termasuk sama ada seorang perdana menteri boleh menerimanya ketika sedang memang jawatan.

Tak sembunyi

Beliau juga turut mengulangi persoalan yang ditimbulkan Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada ada berkaitan keperluan cukai yang tertakluk bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Artikel dalam MYKMU, antara laman yang terkehadapan mempertahan Najib, juga menyebut tiada unsur rasuah dalam transaksi itu kerana ia bukan dimiliki secara tidak sah, disembunyikan atau berpunca daripada pihak berkepentingan.

“Dalam keadaan ini tiada kepentingan dan tidak disembunyikan dari pihak berkuasa,” menurut tulisan itu lagi.

MYKMU juga menolak persoalan sama ada ia perlu dibayar cukai kerana mulai tahun taksiran 2004, pendapatan dari luar dan diterima di Malaysia oleh individu bermastautin dan diremitkan ke Malaysia dikecualikan cukai pendapatan.

MYKMU juga berkata Bank Negara tahu berkaitan perkara itu kerana ia sebuah transaksi besar selain akaun peribadi Najib semua dimaklumkan kepada pihak itu.

Bagaimanapun, BN tidak dapat mendedahkan sumber dana itu kerana pembangkang, iaitu DAP, pernah menolak undang-undang bagi membolehkan perkara itu dibuat.

Anda agama apa?

Wang itu juga dikatakan bertujuan untuk pilihan raya dan kerja kebajikan.

“Para penyumbang tahu mereka menyumbang ke dalam akaun presiden Umno. Pihak berkuasa juga tahu. Ia bukan akaun yang dibuka secara sembunyi dan menggunakan akaun penyamar.

“Jadi tidak ada apa-apa masalah. Mereka tidak ditipu atau dipesongkan,” jawabnya.

MYKMU juga mengingatkan Akmal Saufi terhadap ajaran agamanya sebelum membuka langkah menyindir perdana menteri.

“Hendak troll ? Teruskan! Jika ia menggembirakan anda. Kecewa kerana anda tidak dapat? Selamat bermadah!

“Mahu maki dan hina Najib Razak kerana bersangka buruk? Fikirlah anda agama apa,” katanya.

Lihat Komen
ADS