Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ribut: Rumah, sekolah rosak di Miri
Diterbitkan:  Aug 5, 2015 5:57 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Ribut serta hujan lebat melanda bandar raya Miri sekali lagi sehingga menyebabkan kemusnahan lapan buah rumah dan sebuah sekolah menengah.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, bumbung lapan buah rumah teres kos rendah di kawasan perumahan Permyjaya telah diterbangkan ribut yang berlaku pada tengah malam tadi sehingga awal pagi ini.  

"Bumbung sebuah blok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Joseph juga telah diterbangkan oleh ribut dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta untuk membaiki kerosakan itu dengan kadar segera," katanya.

Lee berkata pemilik rumah kos rendah berkenaan dinasihatkan untuk membuat tuntutan insurans memandangkan ada pemilik masih membayar ansuran bulanan dengan bank.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah diminta untuk memberi bantuan yang perlu kepada keluarga terbabit," katanya.

Lee berkata pada masa yang sama, kontraktor tempatan Naim Cendera akan turut membantu membaiki rumah-rumah yang rosak itu.

Beliau juga meminta Jabatan Meterologi bersama dengan jabatan dan agensi berkaitan dengan pengurusan bantuan bencana alam untuk membuat persiapan segera menghadapi kemungkinan ribut akan melanda bandar raya Miri lagi.

"Tahun lepas, di kawasan yang sama (Permyjaya) teruk dilanda ribut, bulan lepas pun sama walaupun tidak serius macam hari ini dan tak sampai sebulan berlaku lagi ribut, perlu ada persiapan awal dengan mengkaji corak atau arah cuaca supaya persiapan awal dapat dibuat," katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kong berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pada 10 Julai lepas, Miri dilanda ribut sehingga menyebabkan bumbung dua buah rumah panjang di kawasan pedalaman diterbangkan angin dan pokok tumbang di kawasan bandar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS