Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA: Siapa tangan ghaib ganggu SPRM?
Diterbitkan:  Aug 7, 2015 9:36 AM
Dikemaskini: 2:08 AM

Pertubuhan pendesak Melayu, PERKASA tampil mempersoalkan sekiranya terdapat pihak tertentu mengganggu siasatan ke atas SRC International dan sumbangan derma RM2.6 bilion ke akaun perdana menteri.

Setiausaha biro pemantauan dan integriti PERKASA, Azrul Akmal Saharudin berkata individu yang bertindak seperti itu perlu didedahkan dan dikenakan tindakan.

Katanya pihak berkenaan dianggap sebagai musuh negara jika benar-benar terlibat dengan perbuatan itu.

“Jika benar ada tangan ghaib yang menjadi dalang kepada insiden serbuan rumah serta penahanan pegawai penyiasat SPRM ini, maka wajarlah dalang ini didedahkan kepada umum dengan secepat mungkin.

“Mereka ini layak digelar sebagai musuh negara sekalipun mereka memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.

“Musuh negara ini harus dibanteras dengan kuasa rakyat dan diajar dengan undang-undang, kerana mereka ini cuba untuk menenggelamkan kebenaran dengan mengugut serta menakut-nakutkan pegawai penyiasat agar takut untuk meneruskan siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut PERKASA, pertubuhan itu juga akan mengunjungi ibu pejabat SPRM minggu depan untuk menyerahkan memorandum sokongan ke atas badan pencegah rasuah itu.

Sokongan tersebut timbul selepas pengarah bahagian operasi khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin bersumpah dengan nama Allah akan mencari dalang yang mengarahkan penangkapan anggota suruhanjaya itu.

Susulan siasatan SPRM ke atas wang dalam akaun perdana menteri, beberapa orang pegawainya disiasat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan berhubung “kegiatan memudaratkan demokrasi berparlimen”.

Lihat Komen
ADS