Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Kelantan dijangka dirombak tidak lama lagi untuk memberi peranan yang lebih penting kepada Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Dr Awang Adek Hussin yang kini menyandang jawatan Bendahari Umno Negeri.

Ini berikutan kejayaan beliau terpilih untuk jawatan ahli Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan parti itu bulan lalu. Seorang lagi wakil Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa turut berjaya mempertahankan kerusi MT yang disandangnya sebelum ini.

Berikutan itu, timbul desas-desus mengenai kemungkinan Dr Awang ( kiri ) akan dilantik mengambil alih jawatan Timbalan Pengerusi Umno Kelantan yang kini disandang oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.

Dr Awang meletakkan jawatan sebagai penolong gabenor di Bank Negara pada 2001 untuk bergerak aktif dalam bidang korporat dan politik, selepas 16 tahun bersama bank pusat itu.

Beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Bachok dalam pilihanraya umum lalu, sebelum dilantik sebagai timbalan menteri dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Zaid sebelum ini telah menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan naib presiden Umno tetapi gagal mendapatkan pencalonan yang mencukupi untuk layak berbuat demikian.

Jentera parti

Desas-desus itu dikuatkan lagi dengan kenyataan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed semalam yang beliau akan menemui Abdullah selaku presiden Umno, untuk membincangkan usaha-usaha memantapkan jentera parti dalam menyaingi PAS yang kini memerintah negeri itu.

Mustapa yang tewas dalam pemilihan Naib Presiden Umno, dilaporkan berkata usaha memantapkan parti perlu dibuat lebih awal kerana pilihanraya umum hanya tinggal empat tahun lagi.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Barisan Nasional (BN) Kelantan hampir-hampir berjaya menumbangkan kerajaan PAS apabila memenangi 21 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). BN juga memenangi 8 daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

PAS pula hanya mampu mempertahankan 24 kerusi DUN untuk terus memerintah Kelantan tanpa majoriti dua pertiga.

Kali terakhir Jawatan Umno Kelantan dirombak ialah pada Januari tahun lalu apabila Zaid yang juga seorang peguam dilantik menggantikan Annuar sebagai Timbalan Pengerusi Umno negeri itu.

Turut digugurkan bersama Annuar ketika itu ialah setiausaha perhubungan Umno negeri, Tuan Hashim Tuan Yaakub; Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Ismail Mamat, dan bendahari Datuk Dr Nik Hussein Nik Abdul Rahman.

Desas-desus

Tempat mereka telah diganti olah Mat Nawawi Mat Jusuh (setiausaha perhubungan)m Alwi Che Mat (ketua penerangan) dan Dr Awang (bendahari).

Menurut sumber-sumber Umno negeri, walaupun Zaid telah melaksanakan tugasnya sebagai Timbalan Pengerusi Umno Kelantan tetapi hubungan antara beliau dan Mustapa dikatakan tidak 'mesra'.

"Mungkin juga kerana kedua-dua mereka sibuk dengan tugas masing-masing... tetapi di mata ahli Umno Kelantan, mereka kelihatan tidak mesra...," tambahnya.

Berikutan itu, katanya, timbul desas-desus yang mengatakan Dr Awang akan dilantik menggantikan Zaid selepas beliau terpilih sebagai ahli MT Umno bulan lalu.

Mengenai Annuar pula, sumber-sumber berkata, kemungkinan besar beliau akan dilantik menjadi Setiausaha Umno negeri, selepas beliau berjaya mempertahankan kerusi MT yang disandangnya.

Pada masa ini, Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Kok Lanas, hanya merupakan ahli biasa Jawatankuasa Umno Kelantan.