Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Lanun pun bangga bendera mereka
Diterbitkan:  Aug 18, 2015 2:49 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohammad Khaled Nordin membidas rakyat Malaysia yang tidak berasa patriotik dan bangga supaya mengibarkan bendera Jalur Gemilang dalam bulan kemerdekaan.

Beliau menegaskan kesedaran mereka itu perlu 'dijentik' demi menunjukkan rasa bangga hidup dalam negara berdaulat dan Jalur Gemilang menjadi ‘jiwa nurani’ kepada Malaysia.

Menurutnya lagi, kalaupun Malaysia mampu membina 10 menara berkembar Petronas, namun nilai Jalur Gemilang "penting dan tidak sama getaran" perasaannya bila ia dikibarkan bersama lagu kebangsaan.

"Saat Jalur Gemilang naik ke hujung tiang bendera, rasa bangga dan cinta kepada Malaysia naik ke hujung ubun-ubun kita. Melihat megahnya ia berkibar, segak, kemas dan gagah.

"Bendera kebangsaan mempunyai kepentingan yang tidak terungkap dengan kata-kata. Kalau kita tengok dalam filem-filem barat, lanun pun ada bendera tuan-tuan.

"Bendera hitam dengan tengkorak putih. Itu lambang dan identiti mereka. Itu jadi kebanggaan mereka. Malah itulah yang menjadi motivasi dan pembakar semangat mereka.

"Apatah lagi kita ini. Bangsa merdeka, bangsa berdaulat dan bangsa yang bernegara. Jalur Gemilang itulah simbol negara kita. Simbol, sekelompok manusia yang diikat atas tatasusila bangsa dan kenegaraan yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Johor di Stadium Mersing kelmarin.

Teks penuh ucapan beliau itu diedarkan oleh agensi berita nasional Bernama .

Dalam ucapannya juga, Khaled berkata Jalur Gemilang merupakan simbol kedaulatan yang bersifat fizikal kerana ia boleh pandang dan pegang pada bila-bila masa dan di mana sahaja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS