Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syed Ali: Ahli Umno mulai curiga sesama sendiri
Diterbitkan:  Aug 18, 2015 4:46 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Dakwaan wujudnya gerakan mahu menggulingkan kerajaan melibatkan pemimpin Umno tidak menguntungkan Umno sekaligus mencetuskan rasa curiga di kalangan anggota parti, kata Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

"Ada tuduhan kononnya terdapat wakil rakyat Umno nak guling kerajaan bersama pembangkang, ini tuduhan serius dan boleh menjarakkan hubungan sesama ahli parti.

"Saya lihat isu ini tidak menguntungkan sesiapa, yang rosaknya Umno, ahli-ahli di bawah mula curiga sesama sendiri," katanya dalam blog Umno bahagian Cheras hari ini.

Syed Ali mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi baru-baru ini yang mendakwa terdapat komplot menjatuhkan kerajaan yang membabitkan wakil rakyat Umno bersama pembangkang.

Menurutnya lagi, ekoran tersebarnya dakwaan itu juga menyebabkan beberapa pemimpin Umno, anggota kabinet terbabit dan nama yang didakwa itu terpaksa membuat penafian dan laporan polis.

Sekalipun tidak jelas pihak yang maksudkan, Syed Ali menganggap pendedahan itu sebagai tuduhan serius dan dibimbangi digunakan pihak tertentu bagi merosakkan Umno dan kerajaan sedia ada, demi kepentingan peribadi.

"Pemimpin di atas berkecamuk sesama sendiri akibat tuduh-menuduh, yang jadi mangsa adalah ahli-ahli di bawah, mungkin mereka akan terhakis sokongan kepada pemimpin tertentu.

"Saya amat khuatir dalam kedaaan senario politik yang agak krtikal ini, mungkin ada pihak ambil kesempatan memecahbelahkan Umno," katanya.

Dalam blog itu juga, setiausaha Umno/BN Wilayah Persekutuan itu berkata terpulang kepada Zahid untuk mendedahkan pihak yang terbabit .

Sehubungan itu, Syed Ali menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak menangani itu segera bagi menghalang tuduh-menuduh sesama pemimpin Umno.

Lihat Komen
ADS