Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ekoran timbul dakwaan usaha menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendakwa pihak penjara mengurangkan akses kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Nurul Izzah mendakwa pihak penjara turut membatalkan lawatan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali sebaik sahaja dakwaan usaha menggulingkan kerajaan dibangkitkan.

"Sejak seminggu lalu, terutamanya selepas khabar angin beberapa ahli Umno cuba membeli atau menyiapkan kenyataan Akuan Bersumpah (SD), pihak berkuasa penjara menyekat akses ke atas Anwar.

"Maksudnya daripada segi lawatan ke atas keluarga, akses kepada doktor dan peguam. Ini semua seolah-olah bermotifkan politik.

"Lawatan Azmin atas kapasiti Anwar yang masih penasihat ekonomi negeri Selangor juga dibatalkan serta-merta. Ia hari sama kenyataan pelbagai teori yang dikeluarkan oleh Zahid," katanya.

Anak sulung bekas ketua pembangkang itu juga mendakwa bukan lawatan keluarga Anwar sahaja yang disekat, bahkan ia melibatkan pemimpin pembangkang, peguam dan keluarga.

"Mereka cuba menghalang pemimpin pembangkang, sama ada Lim Kit Siang, Rafizi Ramli atau Azmin daripada bersalam dengan beliau semasa di mahkamah.

"Mereka mengurangkan masa pertemuan dengan peguam daripada 2 jam kebiasaannya kepada kurang 45 minit, kurangkan akses ke perpustakaan di mana Anwar berada dalam penjara kebanyakan masa dan masa lawatan keluarga juga dikurangkan," katanya.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa wujud usaha untuk menjatuhkan Najib yang sedang dirancang pemimpin Umno dengan sokongan ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berkata mereka sedang mendapatkan tandatangan kedua-dua ahli Parlimen BN dan pembangkang untuk SD bagi menukar kerajaan.

Sementara itu, Nurul Izzah mendesak kerajaan supaya bersikap lebih prihatin terhadap keadaan kesihatan ketua umum PKR itu yang kini ditahan di penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat bekas pembantunya.

Beliau berkata ini kerana keadaan kesihatan bekas ketua pembangkang itu kini semakin buruk hingga menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan yang berpanjangan.

"Kami memohon agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan untuk diperiksa oleh doktor pilihan keluarga secara konsisten dengan kadar segera seperti yang diminta sebelum ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu pagi ini.

"Beliau juga perlu dimasukkan ke dalam wad dengan serta-merta dan fisioterapi yang telah disyorkan oleh pihak Hospital Kuala Lumpur dibenarkan berlangsung sebarang kerap yang perlu," katanya.

Lihat Komen
ADS