Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perdana menteri temui pakar ekonomi
Diterbitkan:  Aug 19, 2015 6:13 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertemu beberapa pakar ekonomi dari institusi kewangan tempatan dan luar negara bagi mendengar pandangan mereka mengenai kedudukan ekonomi semasa.

"Saya menghargai pandangan spontan mereka mengenai pelbagai aspek dalam ekonomi modal dan ekonomi rakyat," katanya dalam catatan di Facebook rasminya hari ini.

Najib berkata pandangan mereka sangat berguna untuk kerajaan mengurus ekonomi negara secara proaktif.

"Saya mahu menemui lebih ramai pakar bidang tertentu serta wakil pemimpin korporat dalam pelbagai bidang ekonomi pada minggu-minggu akan datang," kata Najib yang juga menteri kewangan.

Pada hari Isnin, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Najib akan bertemu pemimpin korporat untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai kedudukan ekonomi semasa.

Ia berkata maklum balas itu akan membantu kerajaan melaksanakan langkah-langkah untuk meletakkan Malaysia pada trajektori merealisasikan negara maju, harmoni dan makmur.

Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, dibuktikan menerusi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 4.9 peratus pada suku kedua tahun ini, kata PMO.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS