Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Najib Razak menasihati ahli Umno itu supaya tidak mengamalkan sikap "mengorek kapal" bagi memastikan parti itu tidak "tenggelam".

Dengan memberikan formula lima "K", Najib mengumpamakan Umno sebagai sebuah kapal dan menasihati akar umbinya tidak mengkhianati parti.

Menjelaskan maksud "K" itu perdana menteri berkata, pertama ialah jangan "khianat" kepada parti dengan mengamalkan sikap peteh keting (tikam belakang).

"K yang kedua, jangan korek kapal. Kalau kita korek kapal apa akan terjadi? Maknanya kita semua akan mati lemas. Ini mesti dielakkan.

"Semangat kepartian mesti ada. Setia kawan mesti ada. Susah senang kita kena bantu," katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat Umno Kuala Nerus, Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno bahagian itu yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Jaga aib masing-masing

Selain itu, Najib berkata, perkara yang perlu diamalkan oleh semua ahli parti ialah menanamkan semangat "kerjasama", "kemampuan" dan "keyakinan" kepada parti.

Sementara itu, Najib turut memberi peringatan kepada kira-kira 400 perwakilan Umno Kuala Nerus supaya tidak mengaibkan antara satu sama lain.

Menurut Najib, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa di dalam parti.

Namun, katanya, perbezaan dan perbalahan yang wujud tidak wajar dihebohkan bagi menjaga aib masing-masing.

"Perbezaan pendapat biasa dalam Umno, dalam sejarah kita. Tapi perbezaan pendapat biarlah cara beradab. Orang Melayu ni ada seni dia, seni orang Melayu.

"Ibarat kita sama kita berbalah, jangan kita singkap semua habis barai semua orang tahu. Akhirnya kita akan ditertawakan.

"Tapi kalau kita ada pendapat berbeza, tegur cara beradab. Jaga keaiban kita kerana Islam menyuruh kita menjaga keaiban orang. Jangan jatuhkan dan aibkan orang," kata Najib lagi.

Lihat Komen
ADS