Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasukan NRRET tak pernah siasat 1MDB
Diterbitkan:  Aug 25, 2015 4:13 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) tidak pernah terlibat dengan mana-mana siasatan yang melibatkan 1MDB.

“NRRET tidak pernah terlibat dengan mana-mana siasatan yang melibatkan 1MDB dan syarikat-syarikat berkaitan,” menurut kenyataan NRRET.

Dalam kenyataan hari ini, NRRET menjelaskan bahawa pasukan petugas khas itu bukan baru tetapi telah ditubuhkan sejak 2011.

Ia antaranya bagi menangani isu berkaitan pelarian cukai, penyeludupan, penyalahgunaan barangan bersubsidi, pengaliran wang keluar haram dan rasuah.

Ia dianggotai lapan pihak iaitu, Jabatan Peguam Negara (AGC), polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kastam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

NRRET menjelaskan, peranan utamanya, untuk menyelaras tindakan penguatkuasaan bersepadu pelbagai agensi dalam menangani isu-isu berkaitan.

Sin Chew Daily pada 20 Ogos melaporkan NRRET sebagai pasukan petugas baru yang dibentuk oleh Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat 1MDB.

Ia ketika itu menimbulkan persoalan sama ada ia menggantikan fungsi pasukan petugas khas empat pihak yang ditamatkan awal bulan ini.

Sin Chew melaporkan pemangku ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd Shukri Abdull mengesahkan bahawa suruhanjaya itu tidak mengganggotai NRRET.

Shukri bagaimanapun menegaskan SPRM akan terus menyiasat isu derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lihat Komen
ADS