Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KDN: Anarkis mahu polis bertindak pada BERSIH
Diterbitkan:  Aug 27, 2015 1:00 PM
Dikemaskini: 6:41 AM

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini mendakwa kementeriannya tidak menolak kemungkinan wujud kumpulan anarki yang akan mencetuskan huru hara dalam perhimpunan "haram" BERSIH bermula Jumaat hingga Sabtu ini.

Beliau berkata kumpulan itu dalam perhimpunan tersebut bertujuan mencetuskan provokasi supaya pihak berkuasa menggunakan kekerasan terhadap peserta demonstrasi itu.

"Tindakan provokasi berkenaan adalah untuk menyebabkan polis dipersalahkan kerana menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan haram itu skaligus akan meningkatkan kebencian terhadap pihak berkuasa dan kerajaan," kata Nur Jazlan dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, polis telah mengerahkan kira-kira 4,000 anggotanya bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan rakyat ketika perhimpunan itu.

Menurutnya lagi, polis juga tidak akan bertolak ansur bagi mengelakkan berlaku sebarang tindakan yang mengancam nyawa masyarakat.

Dalam kenyataannya juga, Nur Jazlan mendakwa perhimpunan BERSIH 4 itu telah diperalatkan oleh pembangkang yang sudah merosakkan matlamat untuk berhimpun secara aman apabila tercetusnya kekacauan seperti mana yang belaku pada perhimpunan itu pada 2012.

Beliau juga berkata perhimpunan itu mengetepikan hak majoriti rakyat untuk hidup aman dan tenteram apabil cuba mengambil semangat sambutan kemerdekaan demi kepentingan segelintir pihak

"Sebenarnya apa yang diperkatakan penganjur perhimpunan haram berkenaan sebagai hak untuk berhimpun serta mempunyai usaha murni adalah pembohongan semata-mata kerana terbukti ia didalangi ahli politik pembangkang.

"Saya benar-benar berharap supaya rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan menyertai perhimpunan haram BERSIH 4.0 kerana kemungkinan kekacauan berlaku amat tinggi disebabkan kita tidak mengetahui latar belakang peserta demonstrasi berkenaan yang mungkin terdiri daripada kumpulan yang mahu mengambil kesempatan menimbulkan huru hara," katanya.

Oleh sebab itu, katanya, polis tidak bersetuju dengan demonstrasi itu kerana tiada siapa yang jelas untuk dipertanggungjawab jika berlaku kecederaan dan kerosakan harta benda.

Nur Jazlan yang juga MP Pulai berkata sekiranya rakyat sudah tidak mempercayai kerajaan BN, maka mereka perlu menunggu dua tahun lagi sebelum pilihan raya umum ke-14 diadakan.

Lihat Komen
ADS