Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki lumpuh nyaris dihempap pokok
Diterbitkan:  Aug 27, 2015 5:49 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Seorang lelaki lumpuh yang sedang duduk di atas kerusi roda nyaris dihempap pokok kekabu yang tumbang di atas bumbung rumahnya, petang semalam.

Md Isa Yaakob, 47, bagaimanapun sempat bergerak ke sudut di tepi dinding sebelum pokok kekabu yang jaraknya 100 meter dari rumahnya, tumbang semasa ribut berlaku kira-kira 5 petang semalam.

Isteri dan seorang daripada tiga anaknya berusia 7 tahun berada dalam rumah itu dan tidak mengalami kecederaan, manakala dua lagi anaknya masing-masing berusia 12 dan 14 tahun berada di sekolah.

Turut melawat mangsa ribut berkenaan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Carok Bunting, Abdullah Shariff, yang memberitahu Bernama masalah bumbung rumah keluarga itu telah dibawa ke pengetahuan Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abd Rahim untuk tindakan lanjut.

Mangsa yang lumpuh sejak tiga tahun lalu hanya bergantung pada sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan.

Md Isa turut merayu Jabatan Zakat Daerah Baling membantunya bagi mendapatkan bantuan makanan bulanan bagi meringankan beban keluarganya.

Isterinya, Faridah Yaakob, 42, hanya bekerja sebagai pembantu kedai membuat roti bagi meringankan beban keluargnya .

Bagaimanapun beliau bersyukur ada individu tertentu yang membantu kerana terpaksa mengunakan tiub untuk menyalurkan air kencing serta terpaksa memakai lampin pakai buang yang disumbangkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling.

Kren tumbang

Sementara itu, seorang lelaki nyaris maut apabila kren yang dipandunya tumbang dari ketinggian 9.14 meter di tapak pembinaan di Persiaran Bandar Utama, Damansara hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun berkenaan bernasib baik apabila hanya mengalami cedera ringan di kaki dan kepala.
Komander Operasi Pegawai Kanan Bomba II Balai Bomba dan Penyelamat Damansara Utama, M Jaswant Singh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 9.45 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
"Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dan Seksyen 7 Petaling Jaya, berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit beberapa minit selepas itu.
"Tapak kren yang tidak stabil dipercayai menjadi punca ia tumbang namun punca kejadian sebenar masih disiasat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS