Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Penasihat Najib kena belajar dari pasukan Dr M'
Diterbitkan:  Aug 27, 2015 5:55 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Penasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak patut belajar dengan “kematangan” penasihat Tun Dr Mahathir Mohamad, kata penganjur program sensasi Nothing2Hide Datuk Khairul Anwar Rahmat.

“Segelintir penasihat PM Najib yang menghalang kehadiran beliau pada saat akhir ke program Dialog Nothing2Hide di PWTC pada Jun lalu harus belajar dengan kematangan para penasihat Tun Mahathir yang tampaknya lebih berani dan luhur untuk berhadapan dengan rakyat,” katanya.

Dalam dialog terus terang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu, Najib tidak hadir atas alasan keselamatan.

Mahathir pula mencuri pentas sebelum diiring diberhentikan dan diiring keluar daripada tempat itu oleh polis.

Tindakan itu menyebabkan pengkritik Najib menganggap beliau tidak berani berdepan dengan Mahathir yang mengasak kuat pentadbirannya menggunakan isu syarikat pelaburan negara 1MDB.

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, Khairul berkata rakyat kini dahagakan wacana bersandarkan ilmu dan bukan emosi dan sentimen dangkal semata-mata.

“Kesatriaan dan keluhuran untuk berhadapan dengan rakyat membuktikan seseorang pemimpin itu tidak lari dari medan tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menyifatkan penampilan Mahathir di Pasir Gudang, Johor pada Sabtu ini boleh disifatkan sebagai kembalinya Nothing2Hide.

“Pihak penganjur ada menghubungi saya baru-baru ini dan saya sudah pun memberi pengesahan kehadiran dalam apa jua kapasiti untuk bersama-sama dengan rakyat dari jauh dan dekat,” katanya.

“Apa yang pasti, rakyat mahu mendengar sendiri dari pemimpin negara- sama ada yang masih berkhidmat, ataupun yang pernah berjasa kepada negara- berkenaan kemelut yang merimaskan rakyat seperti 1MDB, GST (cukai barangan dan perkhidmatan), kejatuhan nilai ringgit serta kualiti kepimpinan yang semakin uzur.”

Lihat Komen
ADS