Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon menafikan bahawa beliau ada mengeluarkan kenyataan menggalakkan ahli parti itu menyertai perhimpunan haram Bersih 4 di ibu negara, hari ini.

Sebaliknya, beliau mendakwa portal berita 'Malaysiakini' telah memutarbelikan kenyataannya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini dengan tajuk provokasi 'MCA Youth OK for the member to join Bersih'.

Beliau berkata pada sidang media itu beliau berkata mereka menghormati hak setiap individu di bawah perlembagaan untuk mengadakan perhimpunan dan ahli sayap itu yang mahu menyertai perhimpunan tersebut adalah atas kapasiti peribadi.

"Jadi, tidak ada sebarang kenyataan dari saya yang menyatakan bahawa saya menyeru dan menggalakkan ahli kita (MCA) menyertai Bersih 4.

"Jadi, saya minta Malaysiakini khususnya supaya jangan sesekali cuba mengelirukan kenyataan saya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa Pusat Pemuda MCA Kesembilan di Seremban, semalam.

Katanya ekoran tersebarnya berita itu dalam Malaysiakini, banyak yang mengkritik beliau.

"Tadi saya menerima panggilan dari pucuk kepimpinan bahawa Setiausaha Agung MCA sudah mengeluarkan satu kenyataan rasmi pendirian parti yang tidak menggalakkan ahli MCA menyertai perhimpunan Bersih 4," katanya.

Sementara itu, Chong berkata sayap pemuda MCA itu hari ini mengisytiharkan Deklarasi Seremban iaitu 'Rukun Negara - Asas Perpaduan'.

Menurutnya deklarasi itu sesuai dijadikan prinsip teladan dalam pentadbiran negara dan mencadangkan supaya Rukun Negara diletakkan sebagai mukadimah di bawah Perlembagaan Negara.

Katanya mereka juga sedang merancang untuk menerbitkan sebuah video untuk mengupas semula sejarah pembentukkan sayap pemuda itu sempena ulang tahun ke-60 sayap itu.

"Untuk itu, kita sedang membuat temuramah dengan bekas-bekas Ketua Pemuda MCA kebangsaan termasuk Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Dr. Wee Ka Siong, Tan Sri Chan Kong Choi dan sebagainya.

"Kita juga akan menerbitkan sebuah buku khas untuk ulang tahun ke-60 ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS