Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bung kaitkan BERSIH dengan 'penyapu' 13 Mei
Diterbitkan:  Sep 2, 2015 1:44 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Datuk Bung Moktar Radin muncul lagi dengan kenyataan kontroversinya.

Anggota parlimen Kinabatangan dan Majlis Tertinggi (MT) Umno itu hari ini mengaitkan kegiatan dalam perhimpunan BERSIH 4 baru-baru ini dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Dalam tweet beliau sebentar tadi, Bung antaranya mengaitkan aksi peserta BERSIH membawa penyapu dengan insiden hari-hari menjelang 13 tragedi berdarah itu.

Penyapu besar yang dibawa dalam sebelum tragedi berdarah itu menurut kapsyen dalam gambar itu mahu digunakan untuk “sapu Melayu”.

"Penyapu gergasi yang diniatkan untuk sapu Melayu diarah sekeliling Kuala Lumpur pada 11-12 Mei 1969," menurut tulisan itu.

Kalau bangsa Melayu tak sedar diri..beginilah jadinya..Bangsa kita akan di Sapu bangsa lain.. pic.twitter.com/4kGhvQubhD

— Bung Moktar Radin (@MyKinabatangan) September 2, 2015

Sementara itu, dalam gambar perhimpunan BERSIH pula dimuatkan persoalan berkaitan dakwaan provokasi apabila terdapat peserta membawa penyapu.

"Hari ini provokasi bersifat perkauman ini dimainkan semula.

"Apakah yang cuba dicetuskan oleh pendemonstasi ini?" menurut tulisan itu.

BERSIH: Semua rakyat Malaysia

Sementara itu, Bung sendiri menulis dengan nada amaran kepada orang Melayu.

"Kalau bangsa Melayu tak sedar diri beginilah jadinya. Bangsa kita akan disapu bangsa lain," tulisnya lagi.

Tujuan sebenar pihak yang membawa penyapu itu tidak jelas.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian, terdapat pihak yang membawa alat pembersih rumah itu sebagai simbolik membersihkan Malaysia daripada masalah yang melanda.

Sebelum ini media prokerajaan dan pemimpin BN mengaitkan perhimpunan BERSIH 4 dengan dominasi DAP dan kaum Cina.

Bantahan anti-Najib itu bagaimanapun memang memperlihatkan pecahan kaum yang ketara, terutamanya pada hari pertama.

Ia antaranya dikaitkan dengan ketiadaan kerahan anggota oleh PAS, parti Melayu kedua dengan keanggotan terbesar selepas Umno.

Seorang anggota jawatankuasa pemandu BERSIH bagaimanapun dalam ucapan di Dataran Merdeka menegaskan mereka tidak nampak Melayu, Cina atau India dalam perhimpunan itu, tetapi “rakyat Malaysia”.

Lihat Komen
ADS