Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti: Hukum tawaf guna alat luncur harus
Diterbitkan:  Sep 2, 2015 3:20 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan, hukum menggunakan alat luncur mini-segway ketika tawaf adalah harus.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad berkata, berdasarkan beberapa nas yang meriwayatkan Nabi Muhammad SAW pernah tawaf dengan menunggang unta, hukum menggunakan alat tersebut ketika mengerjakan salah satu daripada rukun haji ialah harus.

Namun, beliau menerangkan, alat tersebut boleh digunakan sekiranya ia bertujuan untuk membimbing, mengikuti dan mempelajari kepada orang ramai atau kerana uzur atau sakit.

Dalam laman web rasmi mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli turut memberi penerangan mengenai pendapat beberapa ulama yang membincangkan tentang penggunaan kenderaan ketika tawaf.

"Justeru, hukum menggunakan alatan tersebut adalah harus," kata Zulkifli.

Bagaimanapun, menurutnya, walaupun hukumnya harus, namun terdapat beberapa kriteria yang perlu difahami dan diraikan iaitu:

• Tawaf secara biasa (berjalan) jauh lebih afdhal (baik) dan aula (utama) kerana ia merupakan perbuatan Nabi SAW pada kebanyakan keadaan dan juga para Sahabat.

• Raikan adab tawaf dengan sebaik mungkin.

• Penuhi syarat-syarat tawaf agar tidak terbatal.

• Jauhi dari riak, ‘ujub (bongkak) dan niat bermegah ketika menggunakannya.

• Jangan sesekali melanggar orang ramai atau menyakiti mereka.

Semalam, sebuah video seorang jemaah haji menggunakan hoverboard untuk bertawaf menjadi viral di laman sosial.

Video selama 19 saat itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian ihram tawaf di Masjidilharam dengan menggunakan hoverborad.

Tindakan lelaki tersebut menarik perhatian memandangkan kebiasaannya tawaf dibuat dengan berjalan mengelilingi kaabah.

Tindakan lelaki itu juga juga menimbulkan perdebatan orang ramai di laman sosial.

Lihat Komen
ADS