Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Kemalangan punca Jalan Kuching sesak
Diterbitkan:  Sep 3, 2015 5:16 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Polis berkata kesesakan yang berlaku di Jalan Kuching menghala ke pusat bandar pagi ini akibat kemalangan membabitkan beberapa kenderaan dan bukan berpunca daripada jabatan runtuh seperti yang tersebar melalui media sosial.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP S Markandan berkata kemalangan yang berlaku pada pukul 8.30 pagi membabitkan sebuah kereta, sebuah van dan tiga motosikal.

Katanya kemalangan berpunca daripada sebuah kereta jenis Honda Civic yang dipercayai dipandu menghala ke Kepong hilang kawalan di kawasan selekoh sehingga terbabas ke laluan bertentangan.

"Kereta tersebut melanggar sebuah van di lorong kanan menyebabkan van berkenaan berpusing menghala ke arah bertentangan dan dilanggar oleh tiga penunggang motosikal yang gagal mengelak.

"Van jenis Nissan Vanette itu mengalami kebakaran pada bahagian hadapan dan telah dipadamkan oleh pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Markandan berkata pemandu van terbabit, Tan Chee Kian, 47, mengalami gegaran otak dan patah kaki kanan, manakala seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Ego, Mohamad Farif Abdul Aziz, 27, patah tangan kiri serta cedera di kaki.

"Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan sementara seorang lelaki yang memandu kereta didaftar atas nama sebuah syarikat di Taiping dan seorang lagi penunggang motosikal jenis Honda Wave yang terlibat tidak dapat dikesan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd kesal dengan tindakan segelintir pengguna media sosial yang menyebarkan berita palsu kononnya trek LRT jatuh di atas jalan raya berdekatan dengan kompleks membeli belah Sogo sehingga menyebabkan kesesakan itu.

Jurucakap Rapid Rail Lim Jin Aun dalam satu kenyataan berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu mencetuskan situasi panik pengguna LRT yang menerima berita

palsu melalui Facebook dan Twitter.

- Bernama

Lihat Komen
ADS