Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salah alamat
Diterbitkan:  Sep 5, 2015 9:59 AM
Dikemaskini: Sep 7, 2015 5:43 AM

Selepas BERSIH 4 berakhir, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghantar notis tuntutan bernilai RM65,000 kepada penganjur sebagai kos pembersihan namun insiden itu menjadi jenaka luar jangka.

DBKL menghantar notis berkenaan ke alamat yang salah.

Ia sepatutnya kesilapan yang kurang disedari sehinggalah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menarik perhatian ramai melalui Twitter beliau.

Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN semalam menyatakan pegawai beliau pergi ke pejabat BERSIH 2.0 di Petaling Jaya untuk menyerahkan bil pembersihan berkenaan.

Namun berdasarkan gambar di Twitter Abdul Rahman, pegawai terbabit tiba di tempat yang salah.

"Hari ini pegawai saya pergi ke pejabat berdaftar BERSIH untuk menyerahkan bil pembersihan RM65,000. Ia berkunci dan terbiar.

"Dan ini pejabat BERSIH yang tak nampak bersih langsung," kata Abdul Rahman sambil melampirkan sekeping gambar premis berkenaan.

And this is the office of Bersih which doesn't look like "bersih" at all. pic.twitter.com/1VXWKXVaIZ

— Abdul Rahman Dahlan (@mpkotabelud) September 4, 2015

BERSIH boleh bantu

Kesilapan itu cepat disedari aktivis BERSIH 2.0.

Salah seorang daripada mereka, Zoe Randhawa membalas tweet Abdul Rahman: "Salah rumah lah! Jangan hina pak cik yang duduk di sebelah rumah."

Pengurus sekretariat BERSIH 2.0 Mandeep Singh kemudian memberikan nombor telefon pejabat mereka kepada Ahli Parlimen Kota Belud itu.

"Jika pegawai Abdul Rahman tak jumpa pejabat BERSIH tolong telefon. Saya boleh bantu pandu arah. Tolong jangan salah rumah lagi," katanya.

Walaupun tidak membalas tweet berkenaan, Abdul Rahman menyatakan pegawainya akan menghantar bil berkenaan sekali lagi minggu depan.

"Kami akan cuba sekali lagi menghantar invois RM65,000 kepada Maria Chin Abdullah dan BERSIH. #payup!" katanya melalui akaun @mpkotabelud.

Abdul Rahman menuntut penganjur BERSIH 4 membayar kos pembersihan sekitar tapak perhimpunan yang berlangsung selama 34 jam pada 29 dan 30 Ogos lalu

Bil berkenaan, kata Abdul Rahman, tidak termasuk kerugian akibat kerosakan harta awam sepanjang perhimpunan berlangsung.

Bagaimanapun Pengerusi BERSIH 2.0 Maria berkata mereka tidak akan membuat bayaran berkenaan dan akan membawa kes itu ke mahkamah.

Lihat Komen
ADS