Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Urus isu baiah dengan hikmah, bukan bebal'
Diterbitkan:  Sep 6, 2015 6:36 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata membincangkan isu baiah talak tiga secara terbuka tidak akan membantu menambah kekuatan kepada PAS, sebaliknya hanya mencalarkan imej parti Islam itu.

Menurutnya lagi, tindakan itu menunjukkan PAS menafikan terhadap penafian yang dibuat sebelum ini berhubung kewujudan baiah itu, dengan mempamerkan pelbagai bukti yang menjadi rahsia dalaman PAS selama ini.

Katanya, beliau khuatir perbincangan terbuka juga membentuk pelbagai persepsi masyarakat terhadap PAS sebagai parti hipokrit, menggunakan agama dan mencagarkan wanita atau isteri untuk kepentingan politik.

"Hari ini sudah ada kumpulan kumpulan NGO dan tokoh wanita mengkritik PAS dengan isu bai'ah dan ini boleh menghakis keyakinan masyarakat wanita terhadap PAS serta tidak baik dari segi masa depan politik PAS yang memerlukan sokongan pengundi wanita dalam pilihan raya.

"Saya mengharapkan saranan timbalan presiden PAS perlu dipertimbang sebaiknya oleh pimpinan dan ahli PAS. Uruslah isu ini dengan hikmah bukannya dengan perasaan bebal," katanya dalam satu kenyataan.

Mahfuz mengulas kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa semua pihak termasuk dalam PAS supaya menghentikan polemik isu baiah talak tiga demi menghormati dan menjaga hati serta perasaan orang yang terlibat.

Isu baiah talak tiga kembali panas selepas dakwaan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob bahawa MP Kuala Krai, Dr Hatta Ramli kini secara automatik bercerai talak tiga dengan isterinya.

Ini kerana meninggalkan PAS dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH). Dr Hatta kemudian menafikannya.

Baiah itu melibatkan semua wakil rakyat PAS di Kelantan termasuk Dr Hatta, perlu bertaklik dengan melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri masing-masing.

Hal demikian mengundang pelbagai pandangan termasuk menggesa mereka merujuk kepada mahkamah syariah.

Isu tersebut turut mengundang reaksi anak Dr Hatta - Atikah- meminta semua pihak tidak menjadi "pemutus kata dan pengatur" hidup mereka sekeluarga, sebaliknya memberi fokus kepada isu negara serta rakyat yang lebih besar,

Mengulas lanjut, beliau menyeru kepada Dr Hatta supaya bersabar berdepan ujian, cabaran perjuangan dan terus istiqamah dengan Islam.

"Kepada isteri dan anak menantu Dr Hatta tabahlah menghadapi cabaran kehidupan. Janji Allah tetap benar, selepas kesedihan akan ada kegembiraan dan selepas kepayahan akan ada kemudahan.

"Islam agama yang tidak memberatkan umatnya. Pasti ada jalan keluar dari kekusutan ini seperti yang disarankan mufti Pulau Pinang," katanya.

Lihat Komen
ADS