Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Enggan bayar bil, mungkin sampah ditinggal depan pejabat'
Diterbitkan:  Sep 7, 2015 7:30 PM
Dikemaskini: 11:34 AM

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mungkin akan melonggokkan sampah sarap di depan pejabat BERSIH 2.0 jika mereka berkeras enggan membayar bil tuntutan kutipan sampah pada himpunan BERSIH 4 .

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan membidas sikap "kebudak-budakan" BERSIH kerana mempersendakan pegawainya yang tersilap menghantar surat dan keengganan BERSIH membayar bil sebanyak RM65,000 itu.

“Kebudak-budakan. Inilah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan sikap BERSIH yang enggan membayar bil tuntutan DBKL dan juga tindakan mereka mempersendakan pegawai-pegawai yang telah tersilap menghantar surat tuntutan tersebut.

"Jika BERSIH terus berkeras untuk tidak membayar bil tuntutan tersebut, pada perhimpunan haram seterusnya yang mereka anjurkan, mungkin saya patut menghantar segala sampah sarap yang mereka tinggalkan itu di depan pejabat mereka.

"Jika ini berlaku, saya jamin kali ini saya akan hantar sampah sarap tersebut ke alamat yang betul!" kata Rahman dalam kenyataannya hari ini.

Hari ini BERSIH meletakkan kain rentang di pagar pejabatnya bagi memudahkan Rahman mengecamnya.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh pengerusinya Maria Chin Abdullah, pagar pejabat mereka di Petaling Jaya ditandakan dengan tulisan "BERSIH 4" dan diletakkan juga anak panah merah besar menunjukkan nombor pejabat mereka.

Mengulas lanjut, Rahman mendakwa gabungan NGO melakukan "pembohongan" kerana berjanji untuk membersihkan kekotoran sebelum meninggalkan lokasi perhimpunan itu, bulan lalu.

"Saya ada gambar-gambar yang menunjukkan segala timbunan sampah dan juga kerja-kerja pembersihan yang telah dilakukan oleh kakitangan Alam Flora," katanya.

Beliau yang pengarah komunikasi BN turut membidas sikap peserta BERSIH yang melanggar adab kesopanan dan juga mengabaikan kebersihan awam.

Sementara itu, Rahman turut menyelar BERSIH yang berjaya mengutip dana bernilai RM2.4 juta dan bil berjumlah RM65,000 itu tidak sedikit pun akan menjejaskan dana yang mereka perolehi.

"Sikap mereka yang enggan membayar juga jelas menunjukkan mereka sengaja mempermain-mainkan penderma-penderma," katanya.

Lihat Komen
ADS