Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahfuz: Tahniah Mahsuri baru Pulau Langkawi
Diterbitkan:  Sep 8, 2015 11:47 AM
Dikemaskini: 4:36 AM

Dipecat dan dikritik pemimpin parti sendiri, siapa sangka Anina Saadudin disanjung anggota parlimen daripada parti bermusuh.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini tampil mengucapkan tahniah kepada Ainina “atas keberanian bertutur benar kepada presiden Umno yang juga perdana menteri Malaysia yang berkuasa”.

Bekas naib presiden PAS itu malah menyamakan Anina dengan legenda Mahsuri yang berkait rapat dengan pulau pelancongan terkenal itu.

“Selepas 58 tahun merdeka Malaysia berjaya melahirkan seorang srikandi baru dari pulau legenda Mahsuri Langkawi yang punya keberanian sehingga sanggup hilang kedudukan dalam parti pemerintah,” katanya.

Anina sebelum ini dipecat selepas menyaman Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak bagi menuntut sebahagian daripada RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Anggota Umno Langkawi itu berkata beliau bertindak demikian demi kepentingan tiga juta ahli parti dan bagi pihak Malaysia.

Beliau menjadi perhatian umum selepas videonya mengkritik Najib sebagai “kencing” (tipu) anggota Umno di seluruh Malaysia tersebar meluas di Internet.

PAS hulur tangan

Sementara itu, Mahfuz dalam kenyataan hari ini berkata kes menimpa Anina menggambarkan amalan tidak demokratik dan pemecatan itu pula bertujuan “melindungi presiden Umno”.

“Tidak wajar peruntukan perlembagaan diguna dalam kes ini ke atas Ainina. Apa yang dilakukan Anina sepatutnya dilihat untuk kebaikan Umno,” katanya lagi.

Beliau juga berkata Anina tidak mempunyai pilihan apabila Najib “buat pekak badak” apabila didesak memberi penjelasan berhubung derma politik itu.

“Apa lagi yang boleh dilakukan bagi seseorang ahli parti yang sayangkan Umno seperti Anina,” kata Mahfuz.

Beliau justeru menggesa pensyarah berumur 40 itu untuk terus berjuang walaupun tanpa Umno di sisinya.

“Rakyat Malaysia khususnya penduduk negeri Kedah yang berpayung Di bawah Duli Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah berbangga memiliki wanita seperti anda yang menjadi serikandi bangsa untuk menegakkan kebenaran dan keadilan untuk semua.

“Ayuh kami hulurkan salam perjuangan untuk kita bersama menentang salah guna kuasa dan ketamakan harta,” katanya lagi.

Selepas pemecatannya, PAS antara parti dilihat cuba mendekati Anina, antaranya apabila wanita itu mahu diundang untuk program besar mereka Kongres Rakyat bagi membincangkan isu-isu semasa dalam negara.

Lihat Komen
ADS