Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demo Baju Merah terus, tapi siapa penganjurnya?
Diterbitkan:  Sep 8, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Dua pemimpin Umno positif lebih 100,000 orang Melayu akan turut serta dalam perhimpunan anti-BERSIH pada Hari Malaysia minggu depan.

Bagaimanapun kedua-dua mereka, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii dan ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunos, gagal memberi jawapan jelas berhubung siapa penganjurnya.

Beberapa pesanan melalui aplikasi Whatsapp telah tersebar.

Satu daripadanya mendakwa dianjurkan oleh sebuah persatuan silat yang diketuai seorang bekas ketua menteri Umno.

Jamal berkata penganjur mungkin bertemu polis hari ini atau esok berhubung perhimpunan yang dirujuk sebagai “Baju Merah” itu, susulan warna pakaian mereka.

“Ia perhimpunan aman untuk menunjukkan orang Melayu tidak kira Umno atau PAS atau persatuan orang Melayu lain bersatu menentang BERSIH,” katanya.

PAS tidak mengerahkan anggotanya menyertai BERSIH seperti sebelum ini atas alasan mempunyai acara lain. Parti Islam itu bagaimanapun berkata menyokong tuntutan BERSIH.

“BERSIH mendakwa mewakili rakyat tetapi kita lihat kebanyakannya didukung oleh orang Cina dan DAP,” katanya sambil mendakwa gabungan proreformasi sistem pilihan raya itu alat pembangkang.

Jamal, presiden sebuah persatuan peniaga di Kuala Lumpur, berkata penganjur perhimpunan 16 September terikat dengan syarat ditetapkan pihak berkuasa.

PAS dalam kenyataannya hari ini berkata tidak menyokong perhimpunan itu.

Mesej sudah tersebar

Sementara itu, Razlan berkata BERSIH tidak hormat pada demokrasi kerana mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Perhimpunan balas pada 16 September ini untuk menunjukkan bahawa orang Melayu tidak setuju dengan kamu (BERSIH) dan demokrasi yang kita amalkan sekarang, dengan pilihan raya setiap lima tahu adalah demokrasi sebenar,” katanya.

“Poster dan mesej media sosial telah disebarkan. Kami jangka kehadiran bagus,” katanya.

Polis melarang perhimpunan Baju Merah atas alasan keselamatan.

Umno Pulau Pinang bagaimanapun dilaporkan menyokong perhimpunan itu dengan 1,000 orang dijangka menuju ke ibu negara dengan bermotosikal.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS