Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kongres Rakyat anjuran PAS dengan kerjasama NGO pada 12 September ini bercita-cita besar untuk merangka pelan tindakan menyelesaikan terhadap kemelut politik, ekonomi dan sosial dalam negara.

PAS berkata lebih 200 NGO, kumpulan mahasiswa, profesional, ahli akademik teknokrat dan masyarakat umum akan tampil memberi input dan membincangkan penyelesaiannya.

Tetapi persoalannya, apakah yang benar-benar istimewa tentang kongres itu, yang kelihatannya seperti sebuah persidangan biasa sahaja?

Malah, sudah tidak terkira program seumpamanya dilangsungkan di negara ini.

Justeru, tidak pelik jika ada yang melihat bahawa acara itu sebahagian strategi baru PAS untuk mendekati kumpulan aktivis dalam masa-masa sukar setelah bersendirian tanpa sekutu dan setelah ditinggalkan kumpulan profesional.

Muktamar PAS di Kuala Selangor Jun lalu menyaksikan tersingkirnya kumpulan yang mahukan perubahan dalam kepimpinan parti, termasuk menukar Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sokongan terhadap PAS semakin terhakis dan perseteruan semakin tajam - sekalipun dinafikan beberapa pimpinannya - apabila bekas pemimpin-pemimpin kanannya mengepalai rombongan keluar parti.

Jambatan ke luar

Dalam perang persepsi, golongan yang dipimpin bekas timbalan presiden Mohamad Sabu itu, kini bergabung dalam Parti Amanah Nasional (AMANAH), juga berjaya menjadikannya sebuah acara media yang menarik perhatian banyak pihak.

Tindakan itu dilihat ancaman kepada kelangsungan kepada parti Islam yang mempunyai keanggotaan lebih tiga juta orang. Malah, jambatan mereka kepada golongan bukan Islam juga dilihat semakin rapuh.

Sebelum ini, walaupun mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS, jambatan dengan bukan Islam banyak dibina oleh golongan profesional yang berpaling tadah menyertai AMANAH, seperti Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad.

Kedua-dua wakil rakyat lantang itu banyak terlibat dengan dialog dengan agama lain dan mengunjungi rumah ibadat mereka.

Selain itu, PAS juga kehilangan tunjangnya apabila Mazlan Aliman, pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), yang daripada awal tidak senang dengan kepimpinan baru parti walaupun berjaya mempertahankan jawatan anggota jawatankuasa pusat,

Beliau juga kemudian menyertai AMANAH, yang sudah tentu membawa dasar sokongannya ke parti baru, yang juga dijenamakan sebagai sebuah parti Islam yang “inklusif”.

Bagaimanapun, menilai tindakan politik terbaru PAS, termasuk tidak mengerahkan anggotanya ke BERSIH 4, kelihatan langkahnya sedikit sumbang.

Beban di pundak

Ini kerana platform itu sepatunya boleh dimanfaatkan untuk mendekati golongan muda dan penyokong pembangkang. Justeru, ketika gambar Hadi dipijak dalam perhimpunan itu, maksud penolakan itu tidak harus dipandang enteng oleh PAS.

Persediaan Kongres Rakyat ketika itu antara alasan digunakan PAS untuk tidak terlibat aktif dalam BERSIH 4.

Kali ini mata akan tertumpu kepada acara itu. Kongres Rakyat harus membuktikan ia benar-benar penting untuk perubahan politik pembangkang berbanding BERSIH 4.

Ini beban besar di pundak PAS sekarang ini.

PAS juga perlu membuktikan kenyataan Hadi dalam tulisan panjangannya kelmarin, bahawa " ranting PAS dicantas, tunas hidup subur ".

Kongres Rakyat dikatakan bakal disertai lebih 1,500 anggota. Ia juga dikatakan telah menerima pelbagai usul meliputi perundangan, ekonomi, integrasi nasional, jati diri, keselamatan, pendidikan dan sosial daripada pelbagai pihak.

Sama ada berhasil atau tidak, jawapannya pada Sabtu ini di Shah Alam.

Lihat Komen
ADS