Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: Tak mustahil PAS gerak sendirian
Diterbitkan:  Sep 9, 2015 12:34 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tidak mustahil bagi parti itu bergerak sendirian tanpa terikat dengan mana-mana parti komponen.

Katanya berdasarkan pengalaman, parti itu sebelum ini beberapa kali bergerak dan berdikari sendiri termasuk bersama dengan parti komunis sebelum merdeka, lapor Sinar Harian hari ini.

"Dalam politik tiada yang mustahil," katanya menjawab soalan sama ada tidak mustahil PAS bersendirian lagi selepas ini.

"Kita pernah dengan sosialis, PAS pernah bersama kerajaan campuran pada 1970 dengan Umno-Perikatan dan menyertai koalisi pemerintahan BN 1974.

"PAS juga pernah bersendiri. Pernah pada 1982 semua ahli parlimen PAS dalam kerajaan Kelantan tiada. Hanya tinggal Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Tapi kini sudah 20 tahun lebih kita perintah Kelantan. DAP baru satu penggal saja menjajah," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Semalam, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menegaskan pendirian mereka bahawa PAS sepatutnya berada dalam gabungan pembangkang yang baru sekalipun DAP tidak bersetuju susulan parti Islam itu merancang mahu meletakkan calon di kerusi yang ditandingi DAP.

Malah Dr Wan Azizah sebelum itu berkata pembangkang sedia bekerja dengan sesiapa sahaja untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak termasuk PAS dan termasuk mana-mana individu.

Sementara itu, dalam laporan yang lain, akhbar itu juga melaporkan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata pelawaan PKR itu merupakan perkara besar dan memerlukan perbincangan lanjut antara pemimpin parti.

Dalam laporan tu juga, beliau juga berkata PAS diminta belajar daripada pengalaman lalu jika mahu menerima pelawaan Azmin itu.

"PAS perlu belajar daripada pengalaman, terutama sewaktu bersama Pakatan Rakyat.

“Ini kerana dalam Pakatan Rakyat baru itu saya rasa bukan sahaja ada PKR, malah ada parti-parti lain yang menyertainya,” kata beliau dipetik.

Laporan itu juga menyebut, Takiyuddin berkata PAS adalah parti terbuka dan Pakatan baru adalah satu bentuk perkongsian yang memerlukan kesepakatan dan persefahaman.

"Jika perkara itu dilakukan barulah Pakatan baru boleh dilaksanakan," katanya yang juga seorang peguam.

Lihat Komen
ADS